BACHOK: Sejak November lepas, kehadiran sekumpulan anak muda bersama-sama papan luncur air di sekitar Pantai Kemasin, di sini, pasti mengundang persoalan ramai.

Mungkin ramai tidak tahu sebenarnya Pantai Kemasin yang menghadap Laut China Selatan merupakan antara lokasi terbaik di Kelantan untuk mencabar keberanian bermain papan luncur air dalam tempoh monsun timur laut.

Bercakap kepada Bernama, seorang daripada tiga pengasas Kemasin Surfing Club (KSC) Muhamad Fazreen Haiqal Azmi, 25, berkata monsun timur laut menghasilkan gelombang besar serta tiupan angin yang kuat sekali gus menghasilkan ombak 'cantik' dan waktu paling dinantikan ahli kelab itu.

"Sebenarnya sekitar 2016 ada dua orang dikenali sebagai Mat Mie dan Julat memulakan aktiviti meluncur di beberapa lokasi di Kelantan seperti Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama, Pantai Sabak termasuk di Pantai Kemasin ini.

"Ketika itu mungkin tidak ramai yang berminat serta tahu tentang aktiviti ini menyebabkan hanya sekitar lima orang yang benar-benar aktif, saya pun hanya aktif sekitar Oktober 2022," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhamad Fazreen Haiqal atau mesra disapa Yeng berkata bertitik tolak atas niat mahu memperkenalkan aktiviti sukan ekstrem itu kepada orang ramai, KSC ditubuhkan pada Februari 2023.

"Masih ramai tak sedar ada aktiviti luncur air di Kelantan sedangkan ia sangat menarik, jadi saya bersama-sama rakan iaitu Abe Mohd dan Aiman tubuhkan KSC kerana mahu aktiviti ini lebih dikenali ramai.

"Alhamdulillah usaha ini sudah mula membuahkan hasil apabila ada kira-kira 30 hingga 40 peluncur yang ketika ini aktif dan akan turun untuk mencabar keberanian serta kemahiran meluncur di Pantai Kemasin," katanya.

Ahli Kemasin Surfing Club melakukan persiapan sebelum memulakan aktiviti itu ketika ditemui Bernama di Pantai Kemasin baru-baru ini. --fotoBERNAMA

Menurut Muhamad Fazreen Haiqal meskipun monsun timur laut amat dinantikan, aktiviti bermain papan luncur air turut bergantung kepada ombak serta keadaan angin, justeru warga komuniti KSC masih perlu memantau ramalan kaji cuaca dari semasa ke semasa.

Pernah 'bermain ombak' di beberapa lokasi seperti Pantai Tembila, Besut dan Batu Burok di Terengganu serta Pantai Cherating, Pahang, dia mengakui Pantai Kemasin menawarkan pengalaman berbeza.

"Ombak paling tinggi di pantai ini sekitar 1.9 meter. Setiap tempat menawarkan pengalaman berbeza, sebagai contoh ombak di Pantai Kemasin ada 'kiri' dan 'kanan' jadi ia beri pilihan kepada peluncur untuk main di kiri atau kanan.

"Ombak di Pantai Kemasin tidak lah begitu besar sebagaimana di Pantai Cherating, namun keterujaan apabila meluncur masih ada," katanya menambah aktiviti luncur air di pantai itu kebiasaannya bermula seawal 7 pagi hingga 4 petang.

Sebahagian ahli Kemasin Surfing Club ketika ditemui Bernama di Pantai Kemasin baru-baru ini. --fotoBERNAMA

Melihat kepada potensi sukan air itu di Kelantan, Muhamad Fazreen Haiqal kini menawarkan kelas kepada peluncur yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti itu, menyaksikannya mendapat sambutan menggalakkan.

Sementara itu, Vincent Chia, 32, dari Kok Lanas berkata dia bergiat aktif meluncur air sejak beberapa bulan lepas selepas mengetahui aktiviti itu turut diadakan di negeri ini.

"Saya sebenarnya aktif dalam sukan papan selaju, apabila tahu ada aktiviti meluncur di Pantai Kemasin saya ambil keputusan berguru dengan Yeng.

"Meluncur air memang berbeza berbanding main papan selaju, selain meluncur untuk berhibur ada juga rasa bebas serta seronok. Yang paling penting... bila jatuh tak sakit," katanya.

-- BERNAMA