Skip to main content

Malaysia

Menteri Agama ucap takziah atas pemergian jemaah haji di tanah suci

KUALA KANGSAR, 17 April -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada media sempena Majlis Perasmian Ihtifal Madrasah Idrisiah 2026 di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zulkifli menyatakan rasa hiba atas pemergian jemaah lelaki berusia 65 tahun yang dilaporkan rebah ketika hendak menunaikan solat Jumaat di dataran Masjidil Haram. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga seorang jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di tanah suci, semalam.

Menerusi hantaran Facebook, beliau menyatakan rasa hiba atas pemergian jemaah lelaki berusia 65 tahun yang dilaporkan rebah ketika hendak menunaikan solat Jumaat di dataran Masjidil Haram.

Advertisement

“Kehilangan ini pastinya sangat mendalam dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Saya mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. 

Zulkifli turut mendoakan ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dalam mendepani ujian berat itu.

Semalam, seorang jemaah haji dari Pahang dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika hendak menunaikan solat Jumaat di dataran Masjidil Haram.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata Allahyarham yang menunaikan haji bersama-sama isterinya, disahkan meninggal dunia pada 12.15 tengah hari waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia) akibat komplikasi jantung.

Beliau berkata urusan pengurusan jenazah diuruskan sepenuhnya oleh Tabung Haji termasuk membawa jenazah ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas Maghrib sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Makkah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video