PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pihaknya menghentikan pengagihan vaksin Sinovac ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan, dan menggantikannya dengan vaksin Pfizer.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, menjelaskan langkah itu diambil kerana jumlah Pfizer jauh lebih banyak di negara ini berbanding Sinovac.

Katanya, sebanyak 45.7 juta dos vaksin Pfizer ditempah kerajaan berbanding hanya 15.9 juta dos Sinovac.

Menurutnya bukan sahaja Kelantan, vaksin ke negeri-negeri lain juga akan digantikan dengan Pfizer dalam masa terdekat.

"Di Kelantan memang kita beralih kepada Pfizer kerana sebelum ini banyak Sinovac diagihkan kepada negeri itu.

"Bukan sahaja Kelantan, kita akan perluaskan ke negeri-negeri lain juga dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin memaklumkan Jabatan Kesihatan negeri itu akan menghentikan pengagihan vaksin Sinovac dengan digantikan vaksin Pfizer di semua PPV di Kelantan.

Menurutnya, bekalan vaksin berkenaan akan ditamatkan mulai akhir Julai ini.

Mulai 18 Julai ini, semua PPV hanya akan dibekal dengan dos kedua vaksin Sinovac.


COVID-19 | Menteri jelaskan isu vaksin Sinovac di Kelantan

BACA: Kelantan ganti vaksin Sinovac dengan Pfizer di semua PPV mulai bulan depan

Dalam pada itu,  Adham menjelaskan, tujuh negeri yang memasuki fasa kedua setelah memenuhi nilai ambang tidak akan diarahkan melakukan 'u turn'

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini memaklumkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan terbaharu Sarawak telah memenuhi dan menepati tiga indikator ditetapkan beralih ke fasa seterusnya.