Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon menegur menteri dan timbalan menteri agar lebih berdisiplin menjaga kehadiran di Parlimen.

Katanya kesibukan tugasan menteri dan timbalan tidak boleh dijadikan alasan kerana ia sepatutnya boleh dirancang dengan lebih awal.

"Saya tahu menteri dan timbalan menteri sibuk. Apabila perlu ada dalam dewan terutamanya dewan sedang bersidang, saya bagi pihak Parlimen meminta pihak menteri berdisiplin dan aturkan siapa yang patut hadir.

"Mungkin menteri dan timbalan ada kepentingan nak lancarkan program itu dan ini. Tapi ia sepatutnya boleh diatur dengan baik," katanya pada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian susulan daripada gesaaan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong yang meminta Speaker membuat ketetapan tiada menteri dan timbalan menteri yang hadir bagi menjawab soalan lisan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau timbalannya sepatutnya menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Saratok Ali Anak Biju dalam Sidang Dewan Rakyat pagi tadi.

Timbalan Speaker itu mengakui tiada wakil Menteri Dalam Negeri dalam sidang Dewan Rakyat sewaktu pertanyaan jawab lisan namun ia tidak sampai ke tahap untuk beliau membuat ketetapan.

"Tidak perlu ikut Peraturan Mesyuarat Seksyen 24 boleh dijawab mana-mana menteri. Ini perkara biasa memang benar wakil menteri KDN dalam Dewan pagi tadi.Kami nak percepatkan untuk banyakkan soalan lisan. Kebetulan ada empat ahli Parlimen yang tak datang waktu itu jadi biasanya sesi yang kita boleh habis sampai 7,8 soalan dipanjang sampai 13 soalan," katanya.

BACA: Tidak hadir Parlimen bukan isu besar - Muhyiddin