Skip to main content

Malaysia

Menuju PRU16, 48 NGO syor lapan reformasi utama dalam perjanjian merentas parti

Antara lapan reformasi yang dicadangkan ialah mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman. - Foto Parlimen Malaysia
Antara lapan reformasi yang dicadangkan ialah mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman. - Foto Parlimen Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48 organisasi masyarakat sivil mengesyorkan lapan reformasi utama dimasukkan dalam satu perjanjian merentas parti antara kerajaan dan pembangkang bagi memastikan agenda pembaharuan institusi dapat diselesaikan dalam baki penggal Parlimen ke-15.

Menerusi satu kenyataan bersama, mereka menggesa perjanjian itu melibatkan kesemua 218 Ahli Parlimen yang kini mengisi kerusi Dewan Rakyat bagi memperkukuh demokrasi berparlimen serta mengelakkan reformasi penting tergendala akibat ketidaktentuan politik.

Antara lapan reformasi yang dicadangkan ialah mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman.

Advertisement

Cadangan lain merangkumi penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama, Akta Pendanaan Politik berserta dana awam kepada parti politik, serta meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan yang bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya Perdana Menteri.

Mereka turut mencadangkan notis tiga bulan bagi pembubaran Parlimen sekiranya tiada persetujuan untuk membolehkan Parlimen ke-15 berkhidmat sehingga tamat tempohnya pada 18 Disember 2027.

Advertisement

“Tanpa perjanjian sedemikian, reformasi-reformasi penting ini berisiko tergendala akibat ketidaktentuan politik dan terdedah kepada pengaruh pihak-pihak tanpa mandat pilihan raya yang tidak mahu reformasi-reformasi ini memperkasakan pengundi Malaysia.

“Perjanjian ini bertujuan merintis jalan ke arah pengukuhan demokrasi berparlimen sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan memulihkan keyakinan awam dan antarabangsa terhadap kestabilan politik serta akauntabiliti di Malaysia. Justeru, ia mesti merangkumi kepentingan Kerajaan Madani mahupun Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Empat reformasi pertama, menurut mereka, merupakan janji awal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada permulaan penggal pentadbirannya, dengan dua daripadanya memerlukan sokongan majoriti dua pertiga atau 148 undi bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut menegaskan peruntukan pembangunan kawasan perlu disalurkan secara adil kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tanpa dijadikan syarat untuk mendapatkan sokongan kepada Kerajaan.

Sehubungan itu, organisasi berkenaan menggesa Perdana Menteri mengadakan rundingan secara langsung dengan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi merealisasikan perjanjian merentas parti yang merangkumi kesemua lapan reformasi berkenaan.

Kenyataan bersama itu diterajui Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) serta Rasuah Busters, dengan sokongan 42 organisasi masyarakat sivil lain.

Must Watch Video

Advertisement