Walaupun seseorang itu berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal, ia masih belum menjamin mereka boleh menunaikan haji memandangkan ramai umat Islam di Malaysia terpaksa menunggu beberapa tahun lamanya.

Kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi bakal haji setiap negara, menyebabkan sesetengah bakal haji itu telah mencapai usia emas sebelum mereka dapat menunaikan haji.

Wazi Abdul Hamid, 45, berkata, pada bulan Mei lepas secara tiba-tiba beliau dan rakan-rakannya berbual mengenai bila nama mereka akan dipanggil Tabung Haji.

Ada yang mengatakan pada tahun 2030 dan 2040.

"Bila difikirkan balik, adakah kami semua masih bernyawa pada masa itu untuk menjalankan rukun Islam kelima ini. Jadi secara tiba-tiba kami kata yang kami mahu menunaikan haji dengan menunggang motosikal kerana kami tahu sebelum ini pernah ada program yang mengerjakan Umrah dengan menunggang motosikal jadi kami kata kenapa tidak Haji pula?" katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata, dari situ dia dan rakan mulakan dengan menaikkan status dalam laman "Menunggang ke Haji" (Ride to Hajj) untuk mempelawa mana-mana penunggang yang mahu bersama-sama menyahut cabaran menunggang sejauh 12,500km ke tanah suci Mekah.

MENUNGGANG KE MEKAH

Pada mulanya beratus mahu menyertai, namun setelah beberapa ujian kami laksanakan hanya lima yang terbaik terpilih untuk meneruskan cabaran ini iaitu saya, Mat Napiah Mohd Noor, 50, Meor Azhar Meor Raflan, 43, ketiga-tiga dari Perak Azman Baharuddin, 52, dari Negeri Sembilan dan Othman Darus, 47, dari Pulau Pinang.

Ramai yang menjangkakan bahawa dengan perjalanan yang jauh itu sudah pasti motosikal yang bakal digunakan adalah yang berkuasa tinggi.

Namun jangkaan itu meleset apabila mereka mengambil keputusan menggunakan motosikal biasa sahaja.

Wazi berkata mereka memilih menunaikan haji dengan menunggang motosikal berkuasa rendah atas beberapa sebab yang antaranya adalah ia mudah dibawa dan dalam lingkungan kemampuan mereka.

"Pada mulanya kami tidak meminta tajaan dari mana-mana pihak, segala perbelanjaan kami ini adalah dari duit kami sendiri masing-masing telah menyediakan RM18,000.

"Namun baru-baru ini tanpa disangka-sangka kami dipelawa oleh Modenas untuk menaja lima buah motosikal model GT128 untuk tunggangan kami ke sana dan beberapa pihak lain tampil memberi lain-lain bantuan," katanya.

Jelas Wazi ada beberapa perkara lain yang membuatkan beliau memilih untuk "Menunggang ke Haji" yang antaranya bermuhasabah diri.

CABARAN YANG BAKAL DIHADAPI

Menjelas lanjut, bekas juara Cub Prix ini berkata perjalanan ini adalah pengalaman pertama kelima-lima dan masing-masing mempunyai latar belakang yang berbeza yang bukan dalam bidang berkaitan.

"Mat Napiah adalah seorang peladang, Meor Azhar adalah kontraktor, Azman pula 'event organizer' manakala Othman adalah penjawat awam. Memang ada yang bertanya kenapa tak bawa doktor atau mekanik yang profesional, permulaan dah rancang sebegitu namun sudah ketentuan Allah ini hasilnya," katanya sambil tersenyum.

Ditanya mengenai apakah cabaran terbesar yang perlu mereka hadapi beliau berkata terdapat beberapa faktor yang dilihat sebagai cabaran sepanjang perjalanan mereka termasuk keadaan sesebuah negara dan bentuk muka bumi serta cuaca.

"Kami perlu bersedia dengan keadaan cuaca ada yang terlalu sejuk bawah 0 darjah Celsius dan terlalu panas melebihi 50 darjah Celsius. Kami jangkakan di beberapa buah negara mungkin akan menghadapi kesulitan seperti di Myanmar, India, Iran dan Iraq.

"Selain itu kami ada misi tersendiri iaitu "Menunggang ke Haji" maknanya kami ada 'dateline', perjalanan kami sejauh 12,500 kilometer sebab itu kami sasar sehari kami akan menunggang 10 jam untuk capai misi ini dan tiba di sempadan Arab pada 5 Sept," katanya.

Mereka juga telah menyediakan segala peralatan yang perlu untuk perjalanan itu termasuk barang gantian motosikal serta khemah sekiranya dalam perjalanan itu mereka tidak menjumpai mana-mana tempat penginapan.

Sehubungan itu, mereka mengharapkan doa dari seluruh rakyat Malaysia agar tujuan dan perjalanan dapat berjalan lancar.

"Kami akan cuba memuatnaik sekerap mungkin segala maklumat mengenai perjalanan kami di laman 'Ride To Hajj'. Orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan kami boleh mengikuti laman berkenaan," katanya.

PERANGSANG ANAK TEMPATAN LAIN

Dalam pada itu, Wazi berkata dua daripada lima motosikal yang digunakan mereka akan diwakafkan kepada persatuan pelajar di Mekah dan selebihnya akan dibawa pulang ke Malaysia untuk dipamerkan kepada orang ramai selepas jelajah itu nanti.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan kesemua peserta di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.