Setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan negara, masyarakat Malaysia yang rencam sifatnya akan terus membahaskan perkara yang selalu dibincangkan.

Sering kali perkara yang terus-menerus diperkatakan itu pastinya sesuatu yang bersangkut dengan makna 'kecocokan', 'melekat' dan 'sepakat'. Perkara itu ialah perpaduan.

Umum tahu, Malaysia dibina melalui asas yang murni iaitu demokrasi permuafakatan yang menunjangi fabrik sosial kepelbagaian kaum.

Falsafah muafakat yang menjadi keunikan Malaysia itu bagaimanapun dibayangi pelbagai rasa. Selalunya rasa itu didominasi prasangka dan prejudis.

Para sarjana dan penganalisis tempatan puas memerah otak mencari jawapan dalam merapatkan semula saf antara kaum di dalam pelbagai aspek baik politik, ekonomi, sosial mahupun seni dan sukan.

Lebih memeritkan, suara-suara yang mengisi ruang perbincangan menjurus kepada perkara-perkara asas dalam konteks bernegara. Pendek kata, itu cerita dulu-dulu.

Contohnya cakap-cakap mengenai isu-isu yang mengisi berita-berita tempatan minggu ini. Antaranya, seorang tokoh politik veteran yang menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan semata-mata untuk tragedi 13 Mei 1969, cerita lebih empat dekad lalu. Selain itu, tidak kurang hebatnya juga masih ramai yang berbincang sama ada perlu atau tidak lagu Negaraku berkumandang di dalam panggung wayang.

Tetapi, persoalannya bukankah kita sudah melangkah jauh ke hadapan?

Ya, ramai yang mungkin bersetuju bahawa kita perlu menoleh ke belakang untuk mengutip teladan agar kesilapan lampau tidak lagi diulangi.

Namun ada yang lebih besar yang perlu dijawab oleh semua rakyat Malaysia. Ya, semua orang tanpa kira apa jua latar belakang mereka.

Persoalannya ialah apakah impian Malaysia?

Apa yang mengisi imaginasi kita dalam mencorakkan Malaysia untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya?

Jangan lupa, salah satu impian kita sejak 22 tahun lalu ialah membentuk identiti Bangsa Malaysia yang menjadi teras wawasan negara. Ia berbaki kurang tujuh tahun lagi untuk direalisasikan.

Sempena sambutan kemerdekaan negara ke-56 dan 50 tahun usia Malaysia, program terbitan Astro AWANI, Sudut Pandang kembali bersiaran pada Jumaat ini pukul 9.15 malam untuk meneroka jawapan mengenai persoalan Dewasakah Malaysia?

Merdeka: Dewasakah Malaysia? bakal dibahaskan oleh tiga individu yang berbeza pasak ideologi, Datuk Saifuddin Abdullah, Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan Yusmadi Yusoff.