Skip to main content

Malaysia

"Mereka sepatutnya terima kasih pada kerajaan kerana bebaskan PATI dari COVID-19"

81588405698_wargaasing.jpg
81588405698_wargaasing.jpg
Advertisement
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nafi kerajaan bertindak zalim kerana melakukan operasi tangkapan ke atas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tegasnya, PATI tetap melakukan kesalahan menceroboh negara dan Malaysia mempunyai undang-undang yang ditetapkan. 
 
"Semalam, isu tangkapan terhadap 586 warga asing PATI di PKPD Masjid India. Heboh kata kerajaan zalim tangkap PATI. PATI ini dikuarantin secara wajib dalam kawasan PKPD dan kita telah buat saringan COVID-19 dan mereka negatif. PKPD ini akan berakhir maka mereka dibebaskan dan status mereka tidak berubah.

"Walaupun PKPD, mereka masih PATI dan undang-undang (yang dikuatkuasakan) tak ada perbezaan sama ada sebelum atau selepas PKPD. Mereka tetap salah sebab ceroboh negara, jadi status mereka sama," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Semalam, kumpulan hak asasi Tenaganita adalah antara yang membidas tindakan pihak berkuasa kerana melakukan operasi menahan  PATI di beberapa lokasi di ibu negara.

Tambahnya, mereka yang membuat dakwaan berkenaan sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana menjaga kebajikan PATI berkenaan sepanjang PKPD dan memastikan mereka bebas COVID-19.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah bawa mereka ke depoh imigresen. Sepatutnya mereka yang tidak puasahati ini terima kasih pada kerajaan sebab mereka disaring dan bersih. Bayangkan kalau mereka balik akan bawa penyakit COVID-19 kepada keluarga mereka. Dakwaan kita zalim tidak betul sebab semasa PKPD mereka dapat makanan sama seperti rakyat kita," ujarnya lagi. 

Operasi Jabatan Imigresen Malaysia ke atas PATI di kawasan PKPD Plaza City One, Malayan Mansion dan kawasan di sekitar Masjid India menyaksikan 3,352 individu telah diperiksa dan 586 telah ditahan atas kesalahan imigresen dan telah dihantar ke depoh tahanan untuk tindakan selanjutnya.


 

Must Watch Video

Advertisement