BUTTERWORTH: Polis menahan 28 lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam satu kejadian merusuh bersenjatakan parang di Jalan Raja Uda, di sini, semalam.

Kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 51 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah Seberang Perai Utara oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, polis melancarkan serbuan selepas menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu.

"Siasatan  awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka.

“Polis berjaya mengesan kesemua mereka yang terlibat sebelum menahan 28 lelaki bersama barang kes yang digunakan dalam kejadian itu. Kesemua mereka kemudiannya direman untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Siasatan  awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka. - Foto ihsan pembaca

Menurut Mohd Asri, pihaknya juga sedang giat mengesan saki baki suspek lain yang turut terlibat dalam kejadian itu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta dapat berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes ASP Nasrina Darus di talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.

Terdahulu tular video pendek berdurasi empat saat di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dengan merosakkan sebuah kenderaan di hadapan sebuah premis dekat sini.