NATIONAL
Mesej 'rasa macam nak bunuh orang’, ‘belasah je sampai puas' 6 bulan sebelum Zayn Rayyan maut

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. - Gambar fail
PETALING JAYA: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, terdapat perbualan 'rasa mcm nk bunuh orang je’, hampir enam bulan sebelum Zayn Rayyan Abdul Matin ditemui meninggal dunia di anak sungai, dekat Pangsapuri Idaman di sini.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenyah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superitenden Mohd Zaidi Abu Hassan berkata, ada juga perbualan seperti ‘aku nak rehat pun tak leh’, ‘belasah je sampai puas'.
Beliau demikian ketika perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autistik itu, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Semasa prosiding, Mohd Zaidi berkata, mesej perbualan berkenaan dibuat menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ antara dua nombor, pada 20 Jun 2023.Pada hari kejadian kehilangan Zayn Rayyan, 5 Disember 2023 pula, saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, ada perbualan di aplikasi sama antaranya 'Zayn hilang’, ‘dia lari', 'lantaklah nak hidup ke nak mati' dan 'letih gila aku mencari'.
“Ada juga ayat 'geram betullah' yang mana kesemuanya dibuat antara jam 12.20 hingga 12.59 tengah hari, 5 Disember 2023.
“Ia diperoleh hasil pemeriksaan dan analisis ke atas telefon Huawei yang mana perbualan itu melibatkan tarikh 20 Jun, 11 Oktober, 20 Oktober, 1 Disember dan 5 Disember tahun sama,” katanya.
Katanya, mesej-mesej itu diperoleh dari telefon bimbit yang dirampas semasa siasatan yang mana salah satunya di ‘iCloud’ yang didaftarkan atas nama Ismanira sementara Huawei menggunakan akaun 'Google' atas nama Zaim Ikhwan.
Saksi ini berkata, perbualan atas nama ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’ itu diekstrak daripada dua telefon bimbit tersebut serta dua kad sim yang diserahkan oleh pegawai penyiasat kes.
Dalam prosiding sama, Mohd Zaidi membacakan pernyataan saksi berkata, pegawai penyiasat memintanya mengeluarkan video, mesej dan gambar yang dipadam dari telefon bimbit terbabit.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi sementara peguam, Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mohd Zaidi berkata, analisa dibuat selepas menerima barang kes terbabit, seterusnya beliau menyediakan Laporan Pemeriksaan bertarikh 6 Jun 2024.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi sementara peguam, Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung Selasa. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami