Skip to main content

Malaysia

Mesra Komuniti MADANI: POLYCC bawa TVET ‘masuk’ kampung

INSERT_KOMUNITI MADANI 03_AWANI
Pendekatan turun ke kampung penting bagi memastikan manfaat kewujudan politeknik dan kolej komuniti dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat. - Foto Astro AWANI
Advertisement

REMBAU: Usaha memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat akar umbi terus diperkasa apabila Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Negeri Sembilan turun padang menerusi Program Mesra Komuniti MADANI @ Kampung Pedas Tengah, di sini.

Program yang menghimpunkan lebih 200 masyarakat setempat itu menjadi platform mendekatkan pendidikan kemahiran kepada komuniti menerusi pelbagai kursus praktikal, pembelajaran sepanjang hayat serta aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Abdul Razak Sabtu berkata, pendekatan turun ke kampung penting bagi memastikan manfaat kewujudan politeknik dan kolej komuniti dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.

“Program seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai peluang pendidikan dan latihan yang ditawarkan POLYCC, malah membuka ruang kepada komuniti meningkatkan kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

“Ini merupakan program turun ke kampung yang mana bukan setakat kita duduk di institusi kita sendiri. Kita wajar juga turun ke kampung supaya kita dapat berinteraksi dengan komuniti dan berkongsi kemahiran-kemahiran yang ada,” katanya pada Program Mesra Komuniti MADANI @ Kampung Pedas Tengah, di sini.

Image
INSERT_KOMUNITI MADANI 01_AWANI
Program yang menghimpunkan lebih 200 masyarakat setempat itu menjadi platform mendekatkan pendidikan kemahiran kepada komuniti menerusi pelbagai kursus praktikal. - Foto Astro AWANI

Antara kursus yang ditawarkan kepada komuniti pada program itu termasuk bacaan dalam solat, pembuatan soya dan cincau, asas urutan tangan, pembuatan wayar sambungan, servis motosikal serta penetapan dan keselamatan telefon pintar.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila penyertaan bukan sahaja melibatkan golongan muda, malah turut mendapat perhatian masyarakat veteran yang mahu menambah kemahiran baharu.

“Kemahiran yang diperoleh menerusi kursus jangka pendek ini juga berpotensi dimanfaatkan oleh masyarakat setempat sebagai sumber pendapatan sekiranya dikembangkan.

“Contohnya pembuatan soya, mungkin mereka boleh praktikkan bukan sahaja untuk kegunaan keluarga sendiri, malah kalau berminat boleh menjana pendapatan secara kecil-kecilan,” katanya.

Image
INSERT_KOMUNITI MADANI 02_AWANI
Penyertaan komuniti yang melebihi sasaran awal 200 peserta menunjukkan masyarakat mempunyai minat tinggi terhadap program berbentuk kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat. - Foto Astro AWANI

Beliau berkata, penyertaan komuniti yang melebihi sasaran awal 200 peserta menunjukkan masyarakat mempunyai minat tinggi terhadap program berbentuk kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.

Jelasnya, inisiatif berkenaan akan diteruskan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan masyarakat, selain memperluas peluang akses TVET kepada semua lapisan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement