KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 yang sepatutnya disambung semula pada 2.30 hari ini ditangguhkan sejam lagi sehingga pukul 3.30 petang nanti.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat baru sebentar tadi.

[LAPOR LANGSUNG] Kenyataan media Istana Negara berhubung Ordinan Darurat

“Ahli-ahli Yang Berhormat, perbincangan masih diadakan berkenaan aturan mesyuarat pada hari ini.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 12 (2), sekarang in saya menangguhkan mesyuarat ini sehingga jam 3.30 petang,” katanya sebelum bangun beredar meninggalkan Dewan.

Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya kepada beberapa Ahli Parlimen dan RSN Rayer (Jelutong - PH) yang turut bertanya mengapa Azalina terus keluar.

Beberapa Ahli Parlimen lain turut bangun dan melontarkan persoalan, namun mikrofon mereka disenyapkan tidak berapa lama kemudian.

Astro AWANI sebelum itu melaporkan susulan kenyataan Istana Negara bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi kenyataan yang salah berhubung pembatalan Ordinan Darurat, keadaan Dewan Rakyat menjadi tegang.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) bangkit membacakan secara spesifik perenggan di mana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dan kecewa dengan kenyataan Takiyuddin pada 26 Julai.

Anwar memberitahu dewan, kenyataan Takiyuddin bukan sahaja menimbulkan krisis Perlembagaan, malah ia menghina institusi diraja, serta mengelirukan rakyat.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) turut membangkitkan kembali dua usul yang beliau failkan kepada Pejabat Speaker dan bertanya bila ia dapat dibahaskan, terutamanya keputusan merujuk Takiyuddin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bangkit menegaskan, perkara ini sangat serius dan dewan perlu ditangguh supaya satu keputusan dapat dicapai.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon kemudian bersetuju menangguhkannya sehingga jam 2.30 petang walaupun beliau pada asalnya cuba meneruskan sesi Mesyuarat Khas mengenai pengurusan ekonomi negara itu.