RIYADH: Segala rundingan gencatan senjata di Gaza yang sedang berjalan di Kaherah ketika ini akan terus terbantut selagi mana tekanan politik wujud di Gaza dan Israel.

Menurut Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouli, Israel berdepan tekanan politik dalaman yang tidak mahu sebarang kompromi dilaksanakan dalam rundingan tersebut manakala di Gaza, Hamas turut berdepan tekanan sama.

“Isu pokok adalah perlunya wujud kompromi daripada kedua pihak supaya kita dapat mencapai penyelesaian (gencatan senjata).

“Wujud banyak tekanan secara dalaman di kedua pihak supaya tiada kompromi dicapai.

"Ini menyukarkan usaha gencatan senjata,” katanya dalam sesi forum Briefing on the Gaza crisis di Mesyuarat Khas World Economic Forum (WEF), di sini.

Tambahnya pihak Mesir sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan gencatan senjata kekal dapat dicapai.

Beliau pada masa sama menekankan kepentingan untuk Israel kembali patuh kepada cadangan penyelesaian dua negara yang dinafikan negara haram itu.

Sementara itu Perdana Menteri Jordan, Bisher hani Al Khaswneh berkata Israel terus melakukan kesilapan dengan menyerang Gaza dan berharap untuk mendapat hasil yang berbeza.

“Ramai pemimpin Israel percaya bahawa tindakan yang dilakukan kini akan mewujudkan hasil yang berbeza.

"Mereka enggan melihat kepada sudut pandang politik yang mampu membawa krisis ini kepada penyelesaian tuntas.

“Pewujudan dua negara berdaulat adalah penyelesaian asas yang enggan difahami dan diterima Israel,” katanya pada sesi sama.

Kedua-dua perdana menteri negara Asia Barat itu setuju serangan ketenteraan di Rafah hanya akan memburukkan keadaan yang sudah sedia meruncing.

Justeru dunia harus mengesa Israel untuk menerima pelan gencatan senjata kekal yang dicadangkan bagi mengakhiri kekejaman tiada berpenghujung ini.