KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 yang diadakan selama dua hari di Istana Negara antara lain membincangkan mengenai cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal kewarganegaraan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata mesyuarat itu juga membincangkan mengenai pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

"Beberapa perkara lain yang melibatkan pentadbiran Agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan Pengerusi MKI, juga telah dibincangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Danial berkata selain itu, Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan pertahanan negara daripada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada mesyuarat berkenaan, Sultan Selangor selaku pengerusi turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

"Baginda juga turut menzahirkan ucapan tahniah mengalu-alukan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Seterusnya, disahuti ucapan balas oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak," katanya.

Memandangkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 adalah yang pertama kali dihadiri oleh Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, Syed Danial berkata Sultan Selangor telah menzahirkan titah tahniah kepada Seri Paduka Baginda mewakili pihak Majlis, dan seterusnya disahuti dengan titah balas oleh Yang di-Pertuan Agong.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, turut berangkat.

Pada mesyuarat hari kedua hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir pada hari ini.

-- BERNAMA