MetMalaysia bangunkan sistem ramalan cuaca negara yang baharu

Nor Yahati bercakap pada sidang media selepas perasmian Forum Iklim Kebangsaan 2025 'Amaran Awal, Tindakan Bersama di sini hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang membangunkan sistem ramalan cuaca numerikal baharu yang akan membolehkan ramalan cuaca dikeluarkan lebih pantas dan tepat iaitu sehingga 14 hari lebih awal berbanding tujuh hari pada masa ini.
Ringkasan AI
- MetMalaysia bangunkan sistem ramalan cuaca baharu siap 2027 menggunakan superkomputer berkelajuan enam petaflops, disokong AI dan analitik data raya, mampu meramal sehingga 14 hari lebih awal berbanding tujuh hari kini.
- Model cuaca beresolusi tinggi 300 meter akan hasilkan ramalan lebih terperinci, membantu NADMA dan agensi strategik meningkatkan kesiapsiagaan bencana seperti banjir; namun ribut petir kekal sukar diramal jangka panjang.
- Kerugian akibat banjir terus meningkat mencecah RM6.1 bilion pada 2021 dan RM0.9 bilion pada 2024, menuntut sistem amaran awal negara yang lebih inklusif dan berkesan untuk melindungi nyawa, harta benda dan ekonomi.
"Perubahan iklim bukan lagi isu masa depan, tetapi realiti yang kita hadapi hari ini. Cuaca semakin sukar diramal, kejadian cuaca ekstrem semakin kerap dan memberikan kesan langsung kepada keselamatan rakyat, kesejahteraan sosial dan kelangsungan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Datuk Mohd Hisham Mohd Anip berkata pelaksanaan sistem baharu itu akan memberikan masa lebih panjang kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta semua agensi strategik untuk membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir.
"Superkomputer yang bakal diperoleh nanti akan menaikkan lagi kompetensi dan kecekapan pengurusan amaran bencana terutamanya bagi banjir," katanya.
Beliau berkata sistem itu turut disokong oleh model cuaca beresolusi lebih kecil iaitu 300 meter berbanding satu kilometer sebelum ini, sekali gus membolehkan MetMalaysia menghasilkan data ramalan lebih terperinci dan tempatan.
"Kalau sebelum ini satu data mewakili satu kilometer persegi, kini setiap satu kilometer boleh dipecahkan kepada sembilan titik bacaan berbeza. Ini menjadikan ramalan kita jauh lebih halus dan tepat," katanya.
Mohd Hisham berkata sistem itu akan memberikan manfaat besar bukan hanya kepada pengurusan bencana tetapi juga kepada pelbagai agensi dan sektor utiliti seperti TNB, Prasarana dan lapangan terbang yang bergantung kepada maklumat ramalan cuaca bagi operasi harian.
Namun beliau berkata walaupun sistem berkenaan mampu meramal keadaan monsun dan cuaca berskala besar lebih awal, fenomena ribut petir bersaiz kecil masih sukar diramal dalam tempoh panjang kerana sifatnya yang cepat dan berskala sempit.
"Kalau melibatkan ribut petir, hujan sejam atau dua jam, itu tidak boleh diramal dua minggu lebih awal. Tapi untuk sistem monsun yang besar, kita boleh nampak lebih ke depan sama ada akan berlaku bencana besar atau tidak," katanya.
Menurut beliau, MetMalaysia menyasarkan sistem itu akan menjadi tonggak utama dalam pembangunan sistem amaran awal negara yang inklusif, berkesan dan menyeluruh, seiring usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana pada peringkat nasional.
Sementara itu, Nor Yahati berkata menurut Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian akibat bencana itu mencecah RM6.1 bilion merangkumi kerosakan tempat kediaman, premis perniagaan, kenderaan, sektor pertanian, pembuatan serta aset awam dan infrastruktur.
"Trend kerugian ini turut berterusan pada tahun-tahun berikutnya, dengan nilai direkodkan sebanyak RM0.6 bilion pada 2022, RM0.8 bilion pada 2023 dan meningkat lagi kepada RM0.9 bilion pada tahun2024.
"Situasi ini jelas menunjukkan bahawa impak banjir bukan sekadar kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, tetapi turut membawa kesan ekonomi dan sosial yang mendalam. Ia menuntut kita semua lebih bersedia, lebih tangkas bertindak dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi ancaman cuaca ekstrem yang semakin mencabar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami