KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan status cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga bagi 16 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan di Semenanjung, kawasan terlibat ialah seluruh Perlis manakala di Kedah membabitkan Kubang Pasu, Pendang, Kota Setar dan Padang Terap.
Advertisement
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Kuala Kangsar di Perak dan Kuala Lumpur manakala di Kelantan melibatkan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang sementara di Selangor membabitkan Gombak dan Sepang.
Turut tersenarai ialah dua kawasan di Sabah iaitu Beaufort dan Telupid serta Limbang di Sarawak.
Menurut MetMalaysia, status Tahap 1 atau berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian di seluruh negara.
-- BERNAMA