Skip to main content

Malaysia

MetMalaysia keluar amaran tsunami 0.4 meter di Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu

Sumber: MET MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi ini mencetuskan amaran awal tsunami di beberapa kawasan pantai di Sabah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada jam 7.37 pagi pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan analisis, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi dan 12 tengah hari ini.

"Sehubungan itu, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi terbabit sebagai langkah kesiapsiagaan serta amaran awal kepada penduduk di kawasan berkenaan," katanya.

Tambahnya, orang awam di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ini dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan serta menghubungi talian hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. 

 

Sementara itu, Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan pantai yang terlibat supaya kekal tenang dan tidak panik.

Beliau berkata kerajaan melalui MetMalaysia bersama agensi keselamatan sedang memantau perkembangan situasi secara rapi dari semasa ke semasa.

Semua penduduk di kawasan terlibat diminta memberikan kerjasama penuh serta mematuhi segala arahan evakuasi atau keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan pantai dalam tempoh yang ditetapkan demi keselamatan diri dan keluarga.

Menurut beliau, MetMalaysia akan terus memantau sebarang perkembangan berkaitan aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami dan akan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai.

Orang awam juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

Maklumat terkini mengenai cuaca, gempa bumi dan tsunami boleh diperoleh menerusi saluran rasmi met malaysia termasuk laman sesawang, aplikasi mycuaca, media sosial rasmi agensi itu atau talian hotline 1300-22-1638.

Arthur turut mengajak rakyat Malaysia mendoakan keselamatan semua penduduk di kawasan yang berpotensi terjejas akibat kejadian tersebut.

Must Watch Video

Advertisement