Skip to main content

Malaysia

Metrik kemiskinan pendidikan perlu dinilai semula - Prof Suhaiza Hanim

onvensyen Pendidikan Melayu 2026 -- FB Zambry Abd. Kadir
Profesor Datin Seri Suhaiza Hanim Mohamad Zailani menegaskan, dimensi pendidikan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) sedia ada mempunyai kelemahan ketara kerana hanya mengambil kira aspek tahun persekolahan dan kadar kehadiran murid.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengukuran tahap kemiskinan dan keberkesanan sistem persekolahan negara tidak boleh lagi bersandarkan kepada indikator asas kehadiran fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi kualiti pembelajaran, dan impak sebenar mobiliti sosial generasi baharu.

Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaya, Profesor Datin Seri Suhaiza Hanim Mohamad Zailani menegaskan, dimensi pendidikan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) sedia ada mempunyai kelemahan ketara kerana hanya mengambil kira aspek tahun persekolahan dan kadar kehadiran murid. 

"Dimensi pendidikan itu hanya melihat kepada dua indikator iaitu tahun persekolahan dan juga kehadiran sekolah. Maka di sini kita akan lihat kualiti juga penting. Kenapakah kualiti tidak dimasukkan sebagai indikator?

"Kita lihat jurang yang agak besar di antara bandar dan luar bandar, dan inilah yang menjurus kepada isu-isu kenapa kebanyakan anak-anak di luar bandar bermasalah dari segi pendidikan," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Sesi 1 Konvensyen Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa. 

Beliau membangkitkan legasi pemikiran Profesor Diraja Ungku Aziz yang memperkenalkan konsep 'Indeks Sarung' lebih enam dekad lalu, yang menegaskan bahawa pengukuran kemiskinan dan pembangunan modal insan wajib melangkaui angka pendapatan semata-mata (beyond income).

Menurut Suhaiza, kajian rantaian bekalan keciciran murid oleh UAC mengenal pasti empat cabaran utama yang menghimpit keluarga B40 iaitu kos tersembunyi persekolahan, kekangan masa dan ruang, nutrisi kesihatan, serta jurang digital yang melebar pascapandemik COVID-19.

Pada masa sama, beliau memberi amaran mengenai perangkap pendapatan menengah (middle income trap) yang kini membelenggu kelompok M40 ekoran kebertanggungan pinjaman PTPTN, subsidi yang tidak bersasar, serta peningkatan kos sara hidup di institut pengajian tinggi (IPT).

Mengulas mengenai 18 intervensi yang dilaksanakan kerajaan, beliau menegaskan kelemahan paling kritikal ketika ini adalah ketiadaan penilaian impak jangka panjang bagi memantau trajektori sebenar anak-anak asnaf dan luar bandar sehingga ke alam pekerjaan.

"KPI bukanlah output dan outcome sahaja, KPI mestilah melihat kepada impaknya. Apakah laluan anak-anak itu sehinggalah berjaya mendapat pekerjaan yang sewajarnya.

"Cadangan kami adalah untuk menjadikan pengukuran indeks mobiliti pendidikan antara generasi dilakukan secepat mungkin, untuk melihat sama ada sistem pendidikan hari ini benar-benar berjaya mengubah generasi ke depan menjadi lebih baik berbanding ibu bapa mereka," tegasnya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement