Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui blog beliau NajibRazak.com telah mencoretkan kata-kata sempena memperingati ulang tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Mengimbas kembali daripada sudut emosi, diplomasi, usaha dan pengurusan bencana, berikut adalah catatan beliau:


MH17: Perjuangan mencari keadilan diteruskan

Setahun yang lalu, pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 telah ditembak jatuh di Ukraine. Kita tidak akan lupa pada 298 nyawa yang terkorban pada hari itu, termasuk 43 warganegara kita.

Mereka ialah bapa dan ibu, abang dan kakak, anak lelaki dan anak perempuan...sebahagiannya merupakan pelajar yang sedang dalam perjalanan jauh untuk meneruskan pengajian.

Ada pula yang dalam penerbangan pulang selepas bercuti bersama keluarga. Semua nyawa itu diambil daripada kita terlalu awal.

Agak sukar mengungkapkan kata-kata bagi menjelaskan perasaan saya yang terkejut dan tidak percaya apabila sebuah lagi tragedi berlaku atas pesawat Malaysia, yang terlalu dekat terjadi selepas MH370 – yang masih melalui proses perkabungan.

Sebarang sentimen yang saya rasakan secara peribadi harus diketepikan, sambil kita cuba menenangkan perasaan keluarga mangsa.

Pada waktu itu, keutamaan kami adalah untuk memastikan proses membawa pulang jasad mangsa ke pangkuan keluarga masing-masing berjalan lancar. Adalah penting perkara itu dilakukan dengan tertib supaya membolehkan ahli keluarga mangsa dapat menerima keadaan.

Situasi itu telah dirumitkan lagi dengan hakikat bahawa pesawat berkenaan ditembak jatuh di wilayah yang sedang bergolak dalam perang saudara, dan dikuasai angkatan bukan kerajaan.

Mencari peluang berhubung dengan mereka adalah penting dalam usaha mendapatkan jasad mangsa nahas.

Pada awalnya, kita berdepan dengan kritik daripada pelbagai pihak, termasuk beberapa media asing mengesyorkan kita supaya mengikut modus operandi standard.

Bagaimanapun, kemungkinan yang luar biasa memerlukan pendekatan yang luar biasa, dan kita telah mengabaikan suara-suara yang mengganggu – untuk kekal mengikut pendirian dan cara kita sendiri.

Kita ketepikan protokol standard dan dalam masa beberapa hari telah menghantar wakil daripada Majlis Keselamatan negara untuk bertemu dengan kumpulan pemberontak.

Dengan mereka kita berunding untuk mendapatkan laluan selamat, memastikan proses membawa pulang jasad mangsa, serta akses kepada bangkai pesawat dan alat perakam penerbangan yang membolehkan kita mengetahui hal sebenar pada hari kejadian malang itu.

Lebih penting, pendekatan Malaysia yang bersifat tegas, konsultatif dan tidak ortodoks menentukan kejayaan usaha tersebut.

Setahun kini berlalu, perjuangan untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan masih jauh, dan kami akan terus memberikan kerjasama penuh dengan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) dalam tragedi ini.

Mereka kini mendapat gambaran lebih jelas tentang kemungkinan sebenar tragedi, dan dijangkan akan terus menyiasat kesemua senario berkaitan sehingga penghujung 2015.

Matlamat akhirnya adalah jelas – untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, dan memastikan mereka mendapat hukuman setimpal akibat perbuatan jenayah yang tidak dapat dimaafkan.

Menjelang awal Oktober tahun ini, insya-Allah, laporan daripada Lembaga Keselamatan Belanda akan disiarkan.

Pada masa yang sama, kita akan terus mendesak penubuhan tribunal antarabangsa penuh yang menyeluruh dan bebas berhubung insiden ini – demi ahli keluarga dan sahabat handai mereka yang telah terkorban dalam tragedi itu.

Kematian mangsa-mangsa MH17 merupakan mangsa konflik yang tiada kena-mengena dengan mereka.

Bagi keluarga dan sahabat handai mangsa, tiada kata-kata saya boleh berikan untuk mengurangkan rasa pilu dan hiba kalian, namun saya tahu perasaan itu turut dikongsi bersama kami semua.

Malaysia turut bersedih dengan kehilangan kalian, yang juga menjadi kehilangan kami, dan kami tidak akan membiarkan nama-nama yang terkorban itu dilupakan.

Ketahuilah bahawa tragedi MH17 telah menyatukan negara ini dalam landasan perpaduan yang membuatkan sesiapa sahaja berasa bangga mengaku diri sebagai warga Malaysia.

Semoga kebersatuan itu menjadi legasi bagi mereka yang telah tiada.

Saya masih ingat dengan jelas akan rasa terkejut dan kemarahan yang saya terima sejurus menerima panggilan telefon tersebut.

Dan pengalaman mengetuai negara melalui tragedi MH370 dan MH17 yang hanya berselang beberapa bulan, kekal segar dalam ingatan saya.

Saya berharap negara ini, mahupun mana-mana negara lain, tidak perlu berdepan tragedi seumpamanya.

Akhir sekali, saya mendoakan agar kerabat keluarga mereka yang telah terkorban agar terus tabah. Ingatlah bahawa seluruh Malaysia bersama anda, dan kita akan terus bersama anda – selama mungkin – sambil kita berusaha tanpa kenal penat lelah dalam mencari kebenaran dan keadilan bagi orang kesayangan kalian.

Al-Fatihah