Kementerian Pengangkutan belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana tiada sebarang bukti baharu mengenainya untuk mengerakkannya semula.

Dalam menjawab laporan berita mengenai pelancaran semula pencarian kapal terbang itu, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan pada Isnin menyatakan, mereka akan mengkaji sebarang bentuk bukti baharu yang diterima secara rasmi.

"Sebagai tambahan, kementerian juga perlu untuk merujuk kepada China dan Australia, jika sebarang keputusan dibuat bagi melancarkan semula pencarian itu," katanya.

Penerbangan MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang penumpang.

Satu laporan berita mengenai gerakan pencarian semula dilaporkan pada Sabtu (8 Feb), menyatakan pencarian kapal terbang MH370 mungkin akan dimulakan semula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Laporan itu menyebut, keluarga mangsa dan kerajaan Malaysia kini sedang melihat kemungkinan menghantar pasukan pencarian dasar laut 'Ocean Infinity', untuk satu misi baharu bagi mencari kapal terbang yang hilang itu.

-- BERNAMA