Sejumlah 11 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 14 kapal bakal menyertai operasi mencari dan penyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang hari ini.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan berkata kawasan pencarian hari ke 33 bakal meliputi 75,423 kilometer persegi.

Pencarian akan tertumpu di kawasan sekitar 2261 kilometer ke barat laut Perth.

Tekanan udara rendah dijangka terjadi di bahagian tenggara kawasan pencarian, menyebabkan hujan dijangka turun di sesetengah tempat.

Turut diteruskan, pencarian di dasar laut, dengan kapal ADV Ocean Shield diletakkan di kawasan utara kawasan pencarian, manakala kapal milik China Haixun 01 dan HMS Echo di bahagian selatan kawasan pencarian.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

AMSA juga akan meneruskan usaha mencari pesawat menggunakan analisis pelbagai disiplin berkaitan komunikasi satelit dan prestasi pesawat MH370, yang disediakan pasukan penyiasat pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.