Proses mengenal pasti serpihan yang ditemui di Mozambique sama ada mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 akan mengambil masa berikutan melibatkan beberapa prosedur.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tempoh diperlukan tidak dapat dipastikan kerana ia perlu melalui proses yang sama ke atas 'flaperon' yang ditemui di Pulau Reunion Julai tahun lepas.

"Pasukan siasatan yang terdiri daripada DCA (Jabatan Penerbangan Awam) dan MAS serta pasukan penyiasat khas MH370 akan dihantar ke Australia untuk proses kenal pasti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

BACA: Pihak berkuasa Mozambique sahkan terima serpihan didakwa dari MH370 dari warga AS

Katanya pasukan Malaysia akan bekerjasama dengan Australia yang telah menghantar pasukan penyiasat mereka ke Mozambique untuk tujuan perbincangan membawa serpihan berkenaan ke Australia.

"Kita mahu siasat penemuan ini secepat mungkin dan sedang menunggu proses serpihan itu dibawa ke Australia," katanya.

Liow bagaimanapun berkata walaupun daripada gambar disiarkan sebuah agensi berita serpihan itu berkemungkinan ada kaitan dengan Boeing 777, namun masih terlalu awal mengaitkannya dengan pesawat MH370.

BACA: MH370: Elak berspekulasi tentang serpihan objek ditemui di Mozambique - Liow

Baru-baru ini dilaporkan satu objek kemungkinan berkaitan dengan pesawat MH370 yang hilang dua tahun lepas dijumpai terdampar di tebing pasir pantai di Mozambique.

TONTON: Jangan spekulasi dakwaan penemuan serpihan MH370

Sementara itu Liow berkata keputusan untuk melancarkan pencarian lebih banyak serpihan di kawasan pantai Mozambique hanya akan dilakukan selepas serpihan berkenaan dipastikan milik MH370.

Mengenai majlis memperingati ulang tahun kedua insiden MH370, Liow berkata hanya akan ada sesi khas Parlimen untuk tujuan itu.

"Pada 8 Mac juga dijangka satu kenyataan interim mengenai siasatan mengenai insiden MH370 akan dikeluarkan. Ianya akan saya maklumkan melalui kenyataan sebaik saya menerimanya nanti," katanya.