Tidak ada masa yang sesuai untuk mengisytiharkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 pada 8 Mac tahun lepas sebagai kemalangan, tetapi ia perlu dilakukan untuk membolehkan anggota keluarga melangkah ke hadapan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kami faham bahawa ia adalah masa yang sukar bagi mereka. Kami faham sesetengah ahli keluarga tidak dapat menerima hakikat dan kami memahaminya.

Bagaimanapun, kami perlu mengambil langkah ke hadapan supaya jika ada anggota keluarga lain yang benar-benar memerlukan bantuan, kami boleh membantu mereka," katanya pada taklimat media sempena ulang tahun pertama kehilangan pesawat MH370 di sini, baru-baru ini.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru, hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac 2014.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 29 Jan, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang berada dalam pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

#SETAHUNMH370: KONGSI INGATAN ANDA

Liow mengulangi bahawa pengisytiharan itu tidak akan menghalang usaha bagi menjejaki pesawat yang hilang itu.

Beliau berkata bersama masyarakat antarabangsa, Malaysia akan menzahirkan solidariti dengan waris terdekat penumpang dan kru MH370 untuk melalui masa yang sukar ini dan akan terus melibatkan diri dengan mereka.

"Ia amat menyakitkan untuk tempoh setahun yang lalu. Kami bersama anggota keluarga dan kami komited untuk pencarian MH370, sejak hari yang malang itu, kami tidak memberhentikan usaha mencari MH370.

"Kami faham perasaan waris terdekat penumpang MH370. Kami ingin merungkai misteri kehilangan pesawat untuk mereka. Saya ingin memberitahu bahawa kami sentiasa bersama waris terdekat," kata beliau.

Berkongsi beberapa soalan daripada waris terdekat ketika berada bersama-sama mereka, Liow berkata mereka mahu pasukan mencari menemui pesawat itu dan ingin bertemu semula dengan anggota keluarga masing-masing.

"Mereka mahu mengetahui mengenai data Inmarsat dan butiran pencarian. Kami telah memberi banyak butiran kepada mereka, namun ia tidak cukup, mereka mahu lebih lagi. Sesetengah daripada mereka percaya kepada teori mengenai kehilangan pesawat itu.

"Kami sentiasa telus dalam usaha pencarian dan mencuba yang terbaik untuk memberi maklumat terkini kepada mereka. Kesedihan yang menyelubungi keluarga berbeza dan kami menghormatinya," kata beliau.

Liow berkata, beliau juga telah mengarahkan MAS supaya meningkatkan usaha dan memberi keutamaan untuk meningkatkan penglibatan dengan waris terdekat penumpang dan kru MH370 berikutan timbul beberapa masalah dalam mengendalikan anggota keluarga penumpang.

"Walaupun beberapa anggota keluarga tidak berpuas hati dengan jawapan kami, tetapi kami memberi jaminan bahawa kami bersikap telus. Kami akan terus memberi penjelasan kepada mereka dan kami berharap mereka faham," katanya, dan menambah tujuh pusat komunikasi dan sokongan keluarga mangsa telah ditubuhkan di China.

NOTA: Saksikan temu bual penuh bersama Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 8 Mac di saluran Astro AWANI (Saluran 501) mulai 7 pagi. Layari astroawani.com untuk laman tribut khas bagi memperingati setahun pesawat Malaysia Airlines MH370 mulai 12.01 pagi Ahad.