KUALA LUMPUR: Lebih 150 mangsa penipuan pelaburan beberapa buah syarikat menyerahkan penyataan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap syarikat disyaki pecah amanah dan menipu duit pelaburan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili mangsa berkata penyataan tambahan itu diharap dapat membantu siasatan PDRM terhadap syarikat terbabit dan membawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Beliau berkata penyataan tambahan dikemukakan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang diterima oleh Penolong Pengarah (Pelaburan Bersindiket / Kad Elektronik / Lain-lain Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ACP Ahmad Azizul Mohamed.

"Diharap dengan penyataan tambahan yang diberikan ia dapat membantu PDRM dan memudahkan proses siasatan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan penyataan berkenaan di pejabat JSJK Bukit Aman,di sini.

Seorang mangsa pelaburan Fazlifah Awang, 48, yang juga seorang kontraktor berkata beliau membuat laporan polis pada Mac lepas dan berharap pihak polis dapat segera menyiasat kes itu.

Katanya beliau turut menghantar surat peguam kepada syarikat pelaburan berkenaan namun syarikat itu kerap bertukar peguam menyebabkan proses yang sama perlu dibuat berulang kali.

-- BERNAMA