Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MIC menarik diri daripada menyertai Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, keputusan MIC itu berlandaskan keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikannya iaitu sokongan kepada PN hanya atas kapasiti Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Ini bererti, biarpun Perikatan Nasional itu mungkin didaftarkan dan disahkan penubuhannya, tetapi MIC bukan lagi sebagai anggota Protem Commitee atau jawatankuasa penaja kepada Perikatan Nasional itu," katanya.

Beliau ditemui sebelum mendengar taklimat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Bilik Gerakan Utama BN di Felda Residence Trolak pada Khamis.

BACA: MIC sertai Perikatan Nasional kerana keliru

BACA: Zahid Hamidi sah MIC daftar bersama Perikatan Nasional

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, parti-parti di bawah BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS tidak menyertai PN sebagai parti komponen.

Pada Selasa, Vigneswaran berkata, MIC tidak berniat mengkhianati rakan-rakan parti komponen dalam BN, khususnya UMNO apabila mendaftar dengan PN.

Sebaliknya, kata beliau, wujud kekeliruan sehingga mendorong MIC membuat keputusan itu.

Menurutnya, berdasarkan gambaran awal, terdapat tanggapan bahawa UMNO dan BN akan menyertai PN selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Julai lepas.