KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang memberi penelitian khusus dalam memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) dapat diteruskan bagi memperkasakan lagi sistem pertahanan dan perairan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementerian ketika ini sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.

"Kita akan bentangkan kertas baharu kerana kerajaan ini bukan kerajaan yang terdahulu yang telah pun bersetuju, maka kita akan bentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk kita meneruskan projek.

"Apabila kita menandatangani International Settlement Agreement dengan pihak ketiga, kita akan dapat meneruskan dan InsyaAllah kita tidak lagi melihat ke belakang dan memastikan LCS diteruskan dan siap pada masa yang kita tentukan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah-langkah ke hadapan kementerian dalam mengatasi isu projek LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang semakin meruncing dan ia menjejaskan perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM.

Mengenai tindakan terhadap saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas projek LCS pula, Mohamad berkata empat daripada enam syor telah dilaksanakan oleh Mindef setakat ini.

Dua baki syor yang sedang dalam tindakan ialah melibatkan laporan berkala kepada PAC dan Jawatankuasa Khas Parlimen.

"Disebabkan oleh PAC sedang dilantik dan Jawatankuasa Khas Parlimen akan dilantik tak lama lagi dan tidak ada semasa tiga bulan lalu, maka kita tidak buat laporan berkala kepada PAC dan Jawatankuasa Khas Parlimen.

"InsyaAllah apabila kedua-dua jawatankuasa ini ditubuhkan, laporan-laporan berkala mengenai status terkini projek LCS akan dibentang kepada PAC dan Jawatankuasa Khas Parlimen," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau itu menambah status sistem persenjataan utama bagi peluru berpandu antikapal berjalan mengikut jadual ditetapkan dan dibekalkan secara terus oleh Original Equipment Manufacturer (OEM).

Manakala, bagi peluru berpandu antiudara, ia belum dilaksanakan dan bergantung kepada hala tuju perolehan LCS. 

Sebelum ini, PAC dalam laporannya berhubung projek itu memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu