KUALA LUMPUR: Kamera badan menjadi aset terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkemaskan tugas pasukan itu termasuk semasa cegah jenayah apabila digunakan mulai Oktober ini. 

Sebanyak 7,648 unit kamera badan akan diterima secara berperingkat-peringkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025. 

Penerimaan itu adalah berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

Perolehan telah dilaksanakan oleh Bahagian Perolehan KDN yang mana kontrak dianugerahkan kepada syarikat Mindwave Consultancy Sdn. Bhd. (Mindwave Consultancy). 

Pembelian ini melibatkan alat-alat sokongan lain seperti sistem, peralatan sokongan dan latihan dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta yang diluluskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. 

Ia bagi meningkatkan taraf profesional PDRM sesuai dengan era kepolisan moden. 

Kamera badan telah lama digunakan anggota penguat kuasa di luar negara khususnya di barat bagi meningkatkan aspek penguatkuasaan dan integriti. 

Polis Singapura misalnya telah menggunakan kamera badan sejak tahun 2015 mengikuti langkah polis Hong Kong. 

Aset terbaharu ini akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat.

Keutamaan kamera badan adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT). 

Penggunaan kamera badan ini menjadikan PDRM ke hadapan sebagai agensi tunggal keselamatan awam negara ini dalam penggunaan teknologi terkini. 

Apabila digunakan, peranti ini juga akan menaikkan lagi imej PDRM dalam kalangan masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bukti di mahkamah dalam sebarang kes jenayah.

Kamera badan anggota polis boleh digunakan sebagai bukti semasa di mahkamah termasuk bagi mengelakkan kes salah laku.   

Ini termasuk kes membabitkan petugas difitnah ketika menguatkuasakan undang-undang. 

Kamera badan ini boleh merekodkan pergerakan anggota atau pegawai di lokasi serta tidak mempunyai fungsi memadam rakaman. 

Justeru, kamera badan akan disenaraikan sebagai pemakaian wajib pegawai atau anggota PDRM dalam penugasan. 

Sehubungan itu, PDRM telah menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) penggunaan kamera badan dan sedang dikemas kini. - Dagang News