PUTRAJAYA: Tiada kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula 10 Mac dan 11 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan aktiviti yang mewujudkan suasana ceria di sekolah serta penerapan adab dan akhlak.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata dalam minggu pertama, pengurusan sekolah perlu mengalu-alukan kehadiran murid dan pelajar dan memastikan mereka seronok untuk hadir ke sekolah.

"Ini tahun kedua, pendekatan baharu iaitu minggu pertama, tiada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

"Minggu pertama dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti menyeronokkan yang bangunkan emosi anak murid serta guru untuk laksana proses pendidikan formal nanti. Guru disaran sambut pelajar dengan ramah," katanya ketika berucap menyampaikan amanat sempena sesi persekolahan 2024/2025 di sini hari ini.

Sesi persekolahan 2024/2025 bagi kumpulan A iaitu sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka pada 10 Mac ini.

Bagi kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula dibuka bermula 11 Mac ini.

Beliau berkata pentadbir sekolah juga diingatkan melaksanakan aktiviti bersesuaian pada minggu pertama sekolah kerana ia bersempena Ramadan.

"Namun (bulan Ramadan) bukanlah satu alasan untuk tidak laksanakan aktiviti minggu pertama bersama murid dengan ceria. Sekolah ada ruang pupuk nilai baik," katanya.

Azman turut meminta warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu hadir ke sekolah pada minggu pertama sesi persekolahan 2024/2025 bagi menzahirkan semangat kebersamaan dengan pentadbir sekolah.

"Kehadiran (JPN dan PPD) bukan untuk pemantauan tetapi santuni warga sekolah dalam program di laksana di sekolah...tunjukkan soladiriti sokongan tidak berbelah bahagi supaya program yang dirancang di sekolah dilakukan dengan baik," katanya.

Sementara itu, beliau meminta guru manfaatkan teknologi dan media pembelajaran terkini dengan bijaksana seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).

"AI membantu guru rancang PdP berkualiti tinggi dan menarik minat murid sekarang. AI perlu disesuaikan oleh guru berdasarkan potensi anak didik," katanya.

-- BERNAMA