Selama ini, jika anda inginkan sebuah MINI yang praktikal, pilihan anda hanyalah model Countryman. Tetapi bermula hujung minggu ini (15 November 2015) anda boleh melihat sendiri jika model terbaru yang diperkenalkan iaitu MINI 5-pintu baharu lebih menepati penggayaan ‘tradisi’ MINI yang cukup diminati.

Sebagai varian kedua MINI generasi ketiga, model 5-pintu ini menawarkan keseronokan pemanduan, kecekapan, keselesaan, keselamatan, ketersambungan serta praktikaliti secara sepenuhnya.

Mungkin ada akan menyangka bahawa model baharu ini menggunakan platform yang sama seperti yang digunakan model Countryman – seperti Cooper S Countryman yang kami laporkan di sini – tetapi ia sebenarnya berlandaskan kepada platform BMW 2 Series Active Tourer (tidak dijual di Malaysia) yang dikecilkan sedikit. Maklumlah, MINI Countryman masih lagi menggunakan asas MINI generasi terdahulu.

Oleh itu, MINI Cooper S 5-pintu ini mendapat pacuan daripada enjin petrol MINI TwinPower Turbo Technology 1,998cc yang menghasilkan 192hp dan 280Nm untuk tork, semuanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik 6-kelajuan. MINI Cooper S 5-Pintu baharu berupaya memecut dari 0-100km/j dalam tempoh hanya 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 230km/j. Namun, ia tetap mampu menawarkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 5.5 liter bagi setiap 100km.

Dari segi fizikal, kereta ini adalah 155sm lebih panjang berbanding MINI hatchback baharu, dengan panjang keseluruhan 4,005sm. Lebar dan tinggi adalah 1,727sm dan 1,425sm. Peningkatan saiz ini adalah untuk keselesaan penumpang, dan sesuai dengan penambahan dua buah pintu. Bukan itu sahaja, penambahan panjang badan MINI Cooper S 5-Pintu baharu turut meningkatkan ruang kargo sebanyak 67 liter menjadi 278 liter, berbanding model MINI hatchback.

Ruang dalaman MINI Cooper S 5-Pintu baharu menampilkan upsholteri kulit berwarna hitam (Cross Punch Carbon Black), serta tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang hadapan. Kemasan dalaman yang terdiri daripada corak kotak-kotak, garis berwarna krom dan bumbung yang menggunakan material Anthracite.

Stereng pelbagai fungsi MINI John Cooper Works dengan paddle shifter menambahkan lagi nilai sporty kereta ini.

MINI Conencted menjadi satu ciri yang penting – ia memberi integrasi meluas di antara telefon pintar dengan kereta, sekaligus membolehkan mereka di dalam kereta kereta untuk mencapai kemudahan internet termasuk infotainmen, komunikasi dan maklumat pemanduan. Semua ini boleh dioperasi melalui paparan Visual Boost LCD MINI bersaiz 6.5 inci dengan lima kawalan utama.

MINI Cooper S 5-Pintu baharu boleh didapati dalam tujuh warna berbeza dengan tambahan warna biru (Electric Blue) sebagai warna baharu MINI, eksklusif untuk MINI 5-Pintu baharu. Sementara bahagian bumbung, perumah cermin sisi dan garis pada bonet pula didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam atau putih.

MINI Cooper S 5-Pintu baharu juga didatangkan bersama pakej program MINI Service Inclusive yang menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif selama 3 tahun atau sejauh 50,000km.

MINI Cooper S dengan 5-pintu ini dijual pada harga RM238,888 (harga atas jalan, tanpa insurans).