KUALA NERUS: Hasrat seorang graduan dari Palestin untuk menerima skrol Ijazah Kedoktoran (PhD) tidak kesampaian apabila beliau tidak dapat menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada hari ini.

Graduan Fakulti Informatik dan Komputeran, Saber T R Syouri, 50, memaklumkan situasi yang memburuk sedang berlaku di Palestin ketika ini membataskan beliau untuk datang ke Malaysia.

Bagaimanapun, Saber melahirkan rasa syukur kepada Allah dan seluruh warga UniSZA atas penganugerahan PhD berkenaan.

"Saya minta maaf, betul-betul minta maaf. Saya tidak dapat berada di sana (UniSZA) pada hari istimewa ini untuk bergraduasi.

"Ini kerana situasi di sini berbahaya dan rumit. Mohon, berdoalah dan doakan Palestin dan umat Islam. Mohon doakan untuk Palestin.

"Terima kasih atas segala-galanya...terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA dan terima kasih pada semua," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sebuah hantaran video yang ditayangkan pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) di sini pada Ahad.

Difahamkan, Saber kini berlindung di Tebing Barat dan beliau telah kehilangan beberapa ahli keluarga termasuk anak perempuan serta anak lelaki dalam serangan ke atas Palestin baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai enam graduan UniSZA dari Palestin sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen tersebut untuk menerima PhD dan ijazah sarjana.

Bagaimanapun, hanya seorang yang hadir iaitu graduan PhD Fakulti Sains Kesihatan, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51.

Empat graduan Palestin yang lain gagal dihubungi dan tidak diketahui status keberadaan mereka ketika ini.
Rakyat Palestin kini berdepan krisis 'pembunuhan beramai-ramai' selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.

Setakat ini, angka kematian penduduk Palestin akibat pengeboman Israel secara berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 9,500 orang.

Lebih separuh daripada jumlah mangsa terkorban merupakan wanita dan kanak-kanak.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian