Skip to main content

Malaysia

Penganggur mengaku miliki 209 bahan pornografi kanak-kanak

Pengganggur tersebut dipenjara tujuh hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin.
Pengganggur tersebut dipenjara tujuh hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin. 

SEREMBAN: Pengganggur berusia 31 tahun dipenjara tujuh hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan memiliki lebih 200 bahan pornografi kanak-kanak di dalam peranti miliknya.

Hakim Datin Suri Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tengku Muqriz Shah Tengku Shahdizan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Advertisement

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 7 April lalu dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara selama lima bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 209 video pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit, kira-kira jam 3 petang di Kampung Serting Ulu, Batu Kikir, Jempol 7 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, polis menahan tertuduh di lokasi dan waktu yang sama sebelum merampas telefon pintar miliknya, sekali gus melakukan pemeriksaan.

Hasilnya, polis mendapati telefon berkenaan mengandungi 209 video pornografi kanak-kanak dan 292 video pornografi dewasa

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran dan pencegahan.

Menurutnya, kecanggihan teknologi menyebabkan tertuduh terjebak dengan kesalahan serius membabitkan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia kini tiada pendapatan kerana tidak bekerja dan pernah bekerja bahagian pembersihan di sebuah hotel di Johor Bahru

Tambahnya, ini merupakan kesalahan kali pertama dilakukannya dan mendakwa tidak mengetahui bahawa perbuatan terbabit adalah satu kesalahan yang serius. - Sinar Harian

 

Must Watch Video