KUALA LUMPUR: Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang kini sedang dinaik taraf oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah meningkatkan kebolehan sistem itu untuk mengawal minyak masak subsidi di peringkat peruncitan supaya jualan hanya dibenarkan kepada kumpulan sasar melalui dokumen pengenalan diri.

"Melalui sistem eCOSS ini juga KPDN dapat meningkatkan pemantauan bekalan minyak masak peket bersubsidi, dengan merekodkan transaksi minyak masak di pelbagai peringkat termasuk kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit ke dalam satu pangkalan pusat.

"Sistem ini membolehkan kementerian memantau pengedaran minyak masak bersubisidi di pasaran secara masa nyata dan berterusan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai tindakan menaikkan kuota 60,000 tan metrik minyak peket bersubsidi yang mula dilaksanakan sejak 2016, memandangkan pasaran runcit sentiasa menghadapai kekurangan bekalan dan mengakibatkan kesulitan kepada pengguna domestik serta peniaga mikro.

Dalam pada itu, Fuziah berkata pihaknya akan memperhalusi langkah untuk menaikkan kuota minyak masak paket bersubsidi dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

"Ia bagi memastikan sebarang penambahan kuota tidak memberikan impak negatif terhadap kedudukan kewangan kerajaan," katanya.

Fuziah berkata pihaknya turut mengkaji taburan syarikat pembungkusan mengikut populasi di setiap zon di negara ini sekali gus menghalang minyak bersubsidi keluar daripada zon yang telah ditetapkan.

"Penetapan zon akan membantu penguat kuasa mengekang berlakunya ketirisan (minyak masak bersubsidi)...sebarang jualan minyak masak bersubsidi oleh syarikat pembungkusan di luar kawasan zon yang telah ditetapkan, tuntutan bayaran subsidi tidak akan diterima oleh sistem eCOSS," katanya.

Sementara itu, beliau berkata laporan audit dalaman KPDN dijangka siap pada suku tahun pertama 2024, sebagai panduan penambahbaikan mekanisme dan memastikan minyak masak memenuhi keperluan kumpulan sasaran.

-- BERNAMA