Kualiti udara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak masih berada pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 368, setakat 5 pagi ini.

Terdahulu pada Selasa, data Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kawasan berkenaan mencapai kemuncak dengan bacaan IPU 352 pada jam 10 pagi.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 terakhir mencatatkan bacaan IPU 312 (berbahaya) pada pukul 10 pagi Selasa sebelum mula memasuki bacaan IPU 297 (sangat tidak sihat) pada jam berikut dan bacaan IPU menurun secara berperingkat sehingga 265, setakat 10 malam tadi.

Sri Aman, Miri juga menunjukkan penurunan ketara dengan bacaan IPU 113 malam tadi berbanding 158 pada pukul 2 pagi Selasa manakala majoriti lokasi lain di seluruh negara merekodkan bacaan IPU sederhana.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di 'Google Play' bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

BACA: Miri terus catat IPU berbahaya malam ini

BACA: Kualiti udara di Miri kekal pada tahap bahaya, IPU cecah 400

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg pada Selasa turut menasihati penduduk untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti di luar ekoran jerebu yang melanda negeri ini sejak awal bulan ini.

Bercakap pada majlis ibadah korban sempena Aidiladha di Masjid Darul Eshan, Piasau Jaya, di MIRI, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah itu, khususnya di Miri, yang teruk terjejas.

Menurutnya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan bagaimana menangani kebakaran dan jerebu tersebut, termasuk melawat ke lokasi yang terjejas.