KUALA LUMPUR: Misi diplomatik di Malaysia menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, sambil menghormati jasa dan legasi beliau dalam bidang kesihatan awam serta khidmat sosial.
Suruhanjaya Tinggi Australia melahirkan rasa dukacita atas pemergian Dr Siti Hasmah dan menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada rakyat Malaysia.
“Khidmat sepanjang hayat beliau dan legasi yang ditinggalkan akan dikenang dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang,” katanya dalam mesej bertulis kepada Bernama.
Duta yang dilantik Sepanyol ke Malaysia, Sergi Farre Salva berkata, Dr Siti Hasmah meninggalkan legasi yang luar biasa dalam perkhidmatan awam sebagai seorang doktor, selain sokongan beliau selama beberapa dekad terhadap bidang kesihatan, pendidikan dan kemajuan wanita.
“Sepanyol berdiri teguh bersama sahabatnya, Malaysia, pada saat negara ini berkabung,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Kedutaan Rusia mengenang Dr Siti Hasmah sebagai seorang doktor yang disegani dan tokoh masyarakat terkemuka, selain menonjolkan sifat penyayang, rendah hati serta dedikasinya terhadap kesejahteraan orang lain.
“Sumbangan beliau kepada masyarakat Malaysia, khususnya dalam bidang kesihatan awam serta pelbagai inisiatif kemanusiaan dan sosial, akan kekal sebagai sebahagian penting daripada legasi yang ditinggalkannya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kedutaan Amerika Syarikat turut menyifatkan Dr Siti Hasmah sebagai seorang doktor perintis yang mendedikasikan hidupnya kepada kesihatan awam, kebajikan keluarga dan khidmat kepada rakyat Malaysia.
“Kami menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, keluarga beliau serta seluruh rakyat Malaysia yang berkabung atas kehilangan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Suruhanjaya Tinggi Britain dalam hantaran di Facebook turut menyampaikan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarganya, serta rakyat Malaysia.
Kedutaan Venezuela turut menegaskan, legasi Dr Siti Hasmah sebagai perintis dalam bidang perubatan serta dedikasinya terhadap perkhidmatan awam dan sosial.
“Kami memberikan penghormatan kepada kerjaya luar biasa beliau, legasi berharga sebagai perintis dalam bidang perubatan serta dedikasi tanpa mengenal penat lelah terhadap perkhidmatan awam dan sosial untuk negara,” katanya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pagi Isnin pada usia 100 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada 6.20 petang Isnin, dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta ahli keluarga hadir.
-- BERNAMA