KUALA LUMPUR: Situasi bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria kini masuk fasa pemulihan sejak gempa bumi dasyat melanda negara berkenaan pada 6 Februari lalu.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, tumpuan misi kemanusiaan di kawasan terjejas kini tertumpu kepada kesihatan primer, makanan ruji dan tempat berteduh yang lebih kekal.

“Sekarang ini kita masuk ke fasa pemulihan. Fokus sekarang adalah dalam bidang kesihatan termasuk kesihatan primer, kesihatan ibu dan kanak-kanak.

“Dari segi makanan kita telah beralih daripada meals ready to eat (MRE) waktu kecemasan kepada bantuan makanan lebih berdaya tahan dan makanan ruji  seperti roti.

“Dari segi tempat perlindungan pula kita beralih daripada khemah-khemah kepada tempat berteduh lebih berdaya tahan seperti kontena,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Faizal juga menjelaskan, kerajaan Turkiye telah mengumumkan usaha untuk membina tempat tinggal sementara. Namun, ketika ini belum ada perincian lanjut mengenai projek tersebut.

Lebih 13.5 juta orang di Turkiye terjejas akibat gempa bumi yang dahsyat itu.

Menyentuh mengenai situasi di Syria, Faizal berkata pihaknya menumpukan kepada bantuan asasi memandangkan situasi di penempatan mangsa bencana, yang juga mangsa yang terkesan akibat perang di Syria, lebih parah.

“Di Syria keadaan lebih teruk kepada populasi yang berpindah-randah sebelum ini di Idlib akibat perang 11 sehingga 12 tahun. Separuh daripada mereka yang terkesan memang sudah sebenarnya tinggal di tempat teduh sementara. Keadaan mereka lebih mendesak. Mercy Malaysia melihat kepada keperluan perubatan dan makanan ruji,” jelasnya.

Angka korban terkini yang dilaporkan oleh Ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Yunus Sezer akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye bulan lepas telah meningkat kepada 50,096, manakala 107,204 lagi cedera.

Agenda AWANI: Bina semula Turkiye, sejahterakan Syria