SUBANG: Sebanyak lima tan barangan keperluan asas antaranya susu tepung kanak-kanak, pakaian sejuk akan diterbangkan ke Kabul, Afghanistan hari ini dalam misi bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, misi kemanusiaan itu melibatkan kerjasama Golden Horses Digital Investment Bank, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Peace Mission (GPM) dan Buddha’s Light International Association (BLIA).

"Bagi misi ini lima tan barangan keperluan, iaitu susu tepung kanak-kanak, pakaian musim sejuk dan barang keperluan lain bernilai lebih RM1 juta akan disumbangkan kepada rakyat dan kanak-kanak yang memerlukan dan ia adalah kerjasama tiga organisasi.

"Sumbangan tersebut akan diedarkan GPM di Kabul kepada NGO tempatan di Afghanistan, iaitu Ehsas Welfare & Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).

"Saya ingin tegaskan ini adalah bantuan kemanusiaan dari rakyat Malaysia kepada rakyat Afghanistan, kerajaan hanya fasilitasi bantuan ini untuk sampai kepada mereka yang memerlukan," jelasnya dalam sidang media sebelum melepaskan misi kemanusiaan itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Selasa.

Jelasnya, 12 delegasi akan berlepas hari ini termasuk NGO serta dua krew Astro AWANI yang akan memberikan liputan sepanjang misi kemanusiaan berkenaan dijalankan.

Penerbangan khas membawa misi kemanusiaan itu akan melalui Hyderabad, India dan Islamabad, Pakistan sebelum dijadualkan tiba di Kabul, Afghanistan pada 23 Februari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut jelas Saifuddin, misi kemanusiaan ini bukan untuk mengiktiraf kerajaan di Afghanistan, sebaliknya hanya untuk memastikan rakyat di negara itu dibantu.

"Misi ini tiada kaitan dengan pengiktirafan kerajaan di Kabul, kita belum mengiktiraf kerajaan di Kabul.

"Kita memantau perkembangannya dengan rapat, ada parameter yang ditetapkan oleh PBB, OIC dan juga Kerajaan Malaysia sebelum kita mengiktiraf kerajaan Afghanistan.

"Tetapi sementara kerajaan itu belum diiktiraf, rakyatnya menderita dan perlu dibantu, itulah yang sedang kita lakukan pada hari ini," jelasnya lagi.