KUALA LUMPUR: Kadar kemiskinan tegar dalam kalangan isu rumah menunjukkan penurunan lebih 19,000 isi rumah setakat September tahun ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, berdasarkan data eKasih, sebanyak 110,663 isi rumah miskin tegar direkodkan sehingga 30 September lalu berbanding kira-kira 130,000 yang dicatatkan pada Februari 2023.

"Keberkesanan program pembasmian kemiskinan ini juga boleh dilihat dari aspek penurunan dalam kadar pengangguran nasional.

"Ini adalah kerana peserta-peserta program yang telah menyertai pasaran buruh telah turut menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran nasional kepada 3.4 peratus pada suku kedua tahun 2023 berbanding 3.9 peratus pada suku kedua 2022," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta menyatakan ketercapaian sasaran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan pejabat daerah dalam usaha membasmi isi rumah miskin tegar bagi golongan B40.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri berhubung kadar kemiskinan tegar dalam negara yang didakwa telah menurun kepada 18,000 isi rumah ketika ini sebagai mengelirukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha untuk membantu isi rumah miskin tegar keluar daripada kemiskinan akan terus dipergiat melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.

Selain itu, Ahli Parlimen Mukah itu menambah, program pembasmian miskin tegar digerakkan merentas semua pihak berkepentingan selaras dengan pendekatan keseluruhan negara dalam usaha menoktahkan kemiskinan.

"Agensi kerajaan serta jabatan kerajaan negeri tersebut mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam menyedia dan melaksanakan program kemiskinan yang bersesuaian di peringkat akar umbi. 

"Pejabat daerah melalui sokongan Unit Perancang Ekonomi Negeri menjadi 'focal point' dan pemudah cara bagi pelaksanaan program kemiskinan tegar.

"Sesi libat urus dengan peserta diadakan terlebih dahulu bagi mendapatkan cadangan projek yang bersesuaian dan seterusnya melaksanakannya," ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, Pihak Berkuasa Koridor dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pula bertindak sebagai agensi penyelaras dan pemantau, serta mencadangkan tindakan penambahbaikan sekiranya program yang dilaksanakan berhadapan dengan cabaran.