Misteri nasib pesawat penerbangan MH370 yang hilang sejak lebih 500 hari lalu kini hampir pasti terungkai selepas serpihan pesawat yang ditemui di Lautan Hindi disahkan sebagai bahagian daripada sebuah pesawat jenis Boeing 777.

"Saya percaya kita semakin hampir menyelesaikan misteri MH370. Ini mungkin bukti yang meyakinkan bahawa MH370 terhempas di Lautan Hindi," kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi seperti dipetik oleh agensi berita AFP.

BACA: Serpihan di Pulau Reunion milik MH370? Apa yang diketahui setakat ini

Pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac, 2014 kira-kira satu jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.

Pesawat itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal.

Pasukan penyiasat setakat ini percaya pesawat itu berpatah balik daripada laluan yang ditetapkan dan kemudian terhempas di Lautan Hindi.

Serpihan daripada sayap pesawat itu mempunyai kod bahagian pesawat "657BB", berdasarkan kepada foto yang dirakamkan di tempat ia ditemui.

"Daripada nombor bahagian badan pesawat itu, sah bahawa daripada pesawat Boeing 777. Ini maklumat daripada MAS. Mereka maklumkan kepada saya," kata Aziz kepada AFP.

Astro AWANI setakat ini cuba menghubungi MAS untuk mengesahkan maklumat yang dikatakan diterima oleh Aziz itu.

Pasukan penyiasat Malaysia sudah berada di Perancis untuk membantu siasatan penemuan terbaru ini.

Serpihan yang ditemui itu sudah dikirimkan ke Perancis untuk siasatan. Pasukan penyiasat Malaysia juga sudah berada di Perancis untuk membantu siasatan penemuan terbaru ini.

Dalam sejarah penerbangan, ada lima nahas yang melibatkan pesawat jenis Boeing 777. Daripada lima nahas itu, hanya satu kejadian iaitu penerbangan MH370 yang masih belum diselesaikan dan satu-satunya nahas yang berlaku di kawasan Lautan Hindi.

Infografik, MH370