SHAH ALAM: Suspek lelaki kes cubaan samun van keselamatan dan melarikan senjata api di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang, pada Isnin lepas direman enam hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata permohonan reman ke atas suspek tempatan berusia lingkungan 20-an itu dibuat di Mahkamah Klang semalam.
"Mahkamah kemudiannya membenarkan tempoh reman ke atas suspek selama enam hari bermula semalam sehingga 29 Julai depan," katanya menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditahan di Shah Alam, Selangor pada 11 pagi, 23 Julai lepas.
Beliau berkata dalam kejadian 20 Julai itu, suspek dipercayai cuba menyamun kenderaan syarikat keselamatan yang sedang membawa wang tunai sebelum bertindak merampas senapang jenis 'pump gun' milik pengawal keselamatan dan melarikan diri menaiki motosikal.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
-- BERNAMA