Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: 322 permohonan permit ceramah, kempen diluluskan - Polis

Sumber: BERNAMA
Datuk Alzafny Ahmad berkata kesemua program dan aktiviti politik yang diluluskan dipantau Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. - Gambar fail
Advertisement

SEREMBAN: Sebanyak  322 daripada 345 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diluluskan bagi tempoh 18 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kesemua program dan aktiviti politik yang diluluskan dipantau Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata bagi tempoh sama, PDRM Negeri Sembilan menerima 16 laporan polis dan membuka 11 kertas siasatan dengan dua daripadanya dibuka semalam berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Satu kertas siasatan dibuka semalam dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana mengeluarkan, membuat, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan, khabar angin atau berita yang boleh mendatangkan khianat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Alzafny berkata setakat ini, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya  pada tahap yang baik dan terkawal. 

“Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM di lapangan bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan teratur,” katanya.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai, manakala hari mengundi 1 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement