Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi di bawah kendaliannya, akan beroperasi secara jauh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bagi mengekang penularan COVID-19 bermula hari ini.

Bagaimanapun, perkhidmatan penting akan terus dilaksanakan seperti biasa menerusi kaedah konvensional, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

"Perkhidmatan itu seperti Pengesahan Negara Asal (COO) yang dilakukan secara fizikal di Menara MITI dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari kecuali hari minggu," demikian menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan lain seperti permohonan Permit Import (AP), permit Akta Perdagangan Strategik, geran, pinjaman dan kemudahan lain akan dilakukan secara digital.

Kata kenyataan itu, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghantar e-mel ke [email protected].

"MITI juga kekal komited untuk memberi kemudahan kepada pemain industri bagi mengurangkan cabaran yang mungkin timbul dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu," kata kenyataan itu. - BERNAMA