MALAYSIA
MITI gesa lebih banyak penyertaan tempatan dalam industri teknologi dron - Liew

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggesa lebih banyak penyertaan tempatan dalam industri teknologi dron, kata Timbalan Menterinya Liew Chin Tong. - Foto Drontech Asia 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggesa lebih banyak penyertaan tempatan dalam industri teknologi dron, kata Timbalan Menterinya Liew Chin Tong.
Beliau berkata pemain tempatan perlu menggunakan teknologi dron dalam aplikasi praktikal untuk menjana penggunaan khusus sebenar yang boleh memacu pertumbuhan industri.
"Teknologi dron berkembang dengan sangat pesat, seperti yang kita lihat dalam perang Ukraine dan juga dalam perkembangan di China.
"Kita (Malaysia) tidak semestinya terlambat kerana semua orang bermula hampir pada masa yang sama, tetapi kita perlu membangunkan rangkaian penuh keupayaan dan melihat ke arah membina penggunaan khusus sebanyak mungkin."Paling penting, dengan membangun dan menggunakan penggunaan khusus, kita boleh mengukuhkan keupayaan kita, memacu inovasi, dan membina kepakaran dalam mencipta dan juga menggunakan teknologi dron," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pembukaan DronTech Asia 2025, di sini, hari ini.
Liew juga berkata sektor pertahanan dan keselamatan merupakan pendukung penting dalam teknologi dron, sambil menambah penjagaan kesihatan dan pertanian adalah bidang utama untuk diusahakan.
"Selain itu, MITI menyokong industri teknologi dron melalui agensi kami, Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO Malaysia)," katanya.
Sementara itu, pengarah Aerosea Exhibitions Sdn Bhd Datuk Dr M Ghandi berkata edisi DronTech Asia 2025 tahun ini akan mempamerkan teknologi, pasaran idea dan platform bagi menjalin perkongsian.
"Peranan kami sebagai penganjur adalah biasa tetapi penting: untuk menyediakan platform kepada kerajaan, perniagaan dan inovator untuk berhubung, bekerjasama dan meneruskan kemajuan bersama-sama.
"Saya menggalakkan anda (peserta) untuk melibatkan diri sepenuhnya, berkongsi dan menjalin kerjasama merentas sempadan," katanya.
DronTech Asia 2025, yang berlangsung dari 30 Sept hingga 2 Okt 2025, melibatkan penyertaan 75 syarikat dari 10 negara, serta inovator dan pemain industri terkemuka.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami