PUTRAJAYA: Seramai 10,000 pelajar India daripada golongan B40 yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi tempatan layak mendapatkan bantuan one-off RM2,000 menerusi dana RM20 juta yang disediakan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Namun setakat 31 Ogos lalu, Mitra hanya memperolehi 8,583 permohonan dan angka itu belum lagi melibatkan pernohonan yang tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra Datuk R Ramanan berkata, Mitra menyasarkan 10,000 pelajar yang yang berada di tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian ijazah untuk memohon bantuan itu.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima, ribuan pelajar dari golongan B40 yang belajar sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), namun setakat 31 Ogos lalu, kami hanya menerima 8,583 permohonan sahaja," katanya dalam kenyataan di pejabat Mitra di sini, pada Jumaat.

Justeru Ramanan meminta pelajar yang berkelayakan supaya memohon menerusi 
https://www.mitra.gov.my/index.php/bm/utama memandangkan permohonan masih lagi dibuka sehingga 15 September.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan kewangan itu akan disalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Setakat ini 3,193 nama pelajar sudah diserahkan kepada BSN untuk bantuan subsidi melibatkan RM6.4 juta dan daripada jumlah itu 2,492 pelajar melibatkan dana kira-kira RM5 juta sudah dikreditkan dalam akaun masing-masing. 

"Sementara baki 701 pelajar lagi dijangka menerima subsidi secepat mungkin selepas isu teknikal akaun diselesaikan," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Ramanan memaklumkan sehingga 1 September lalu, sebanyak 19 pusat dialisis yang melibatkan 140 pesakit  diberi kelulusan melibatkan dana berjumlah RM1.08 juta.

Subsidi dialisis Mitra katanya, melibatkan peruntukan RM8.64 juta yang meliputi bayaran subsidi RM200 untuk satu sesi dialisis. Bantuan subsidi tersebut adalah untuk bayaran empat kali sebulan selama setahun.

"Namun Mitra berdepan dengan beberapa kekangan termasuk menerima permohonan sebanyak dua kali dan pemohon pula merupakan penerima bantuan dialisis dari agensi lain dan sebagainya.

Justeru katanya, Mitra akan menlakukan semakan dan penilaian secara terperinci bagi mengelakkan bayaran berulang dan baki bantuan dijangka disalurkan pada bulan ini secara berperingkat.

Bagi program Operasi Dron dan Servis Data dan ‘Electrified Automation Advancement Programme’ (EAAP) yang membabitkan kos RM4.3 juta pula, Ramanan berkata  lebih 500 belia India telah membuat permohonan dan kesemua mereka akan disaring kelayakan sebelum mula menjalani latihan hujung bulan ini.

Mengenai Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melibatkan dana RM10.8 juta, Ramanan berkata sehingga 31 Ogos, Mitra telah menandatangani 107 dokumen perjanjian melibatkan 107 tadika dan sedang dalam proses bayaran untuk baki 38 tadika.

Secara keseluruhannya, program berkenaan melibatkan 145 tadika dan 3,916 kanak-kanak, yang akan menerima subsidi bernilai RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk 12 bulan serta dibayar terus kepada pengusaha tadika.