MELAKA: Pusat Perubatan Mahkota (MMC) dan AirAsia Ride (AAR) menjalin kerjasama bagi meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan dalam sektor pelancongan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Stanley Lam berkata kerjasama itu juga akan mengukuhkan lagi matlamat pusat itu dalam memberi perkhidmatan terbaik, khususnya kepada pesakit luar negara sepanjang perjalanan mereka dari lapangan terbang bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

"Sebagai salah satu hospital yang menjadi tumpuan pengunjung dari luar negara, MMC mempunyai kira-kira 95,000 pesakit antarabangsa setiap tahun dan angka ini dijangka akan meningkat," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MMC dan AAR di sini pada Selasa.

"Baru-baru ini MMC menerima Anugerah GlobalHealth Asia-Pacific - Hospital Pelancongan Perubatan 2022 di Asia Pasifik, dan untuk mengekalkan piawaian ini, MMC bekerjasama dengan AAR untuk menawarkan perjalanan dari lapangan terbang, berdiskaun," tambahnya.

Mengulas lanjut Staney berkata selain itu, pemandu AAR dan kakitangan AirAsia turut menerima faedah penjagaan kesihatan bagi memastikan mereka kekal sihat dan selamat di jalan raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau AAR Lim Chiew Shan berkata kerjasama dengan MMC itu turut memberi manfaat kesihatan kepada pemandu "e-hailing" syarikat itu.

"Kami sentiasa mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pemandu kami kerana percaya bahawa mereka akan memberikan kualiti yang terbaik dan perkhidmatan yang paling selamat kepada pelanggan, jika mereka mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik.

"Diharapkan pemandu AAR akan mengambil peluang ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengekalkan kondisi yang terbaik di atas jalan raya," katanya.

-- BERNAMA