KUALA LUMPUR: Perkembangan politik yang berlaku di Kelantan merupakan rentetan apabila Pas dan Bersatu mengambil keputusan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, yang mana menyaksikan UMNO berjaya memenangi negeri itu lebih dua pertiga majoriti secara solo.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berpendapat, kerjasama itu menimbulkan dilema antara kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN) itu, yang akhirnya membawa kepada 'perceraian' Pas dan UMNO di Kelantan.

Kata Dr Mazlan, keputusan UMNO Kelantan pastinya akan mengguris kepimpinan Pas Kelantan yang masih mengharapkan UMNO menghulurkan persaudaraan melalui MN, namun bagi UMNO pula, senario di peringkat nasional mengecewakan mereka yang beranggapan Pas tidak serius dalam usaha mengukuhkan MN.

"UMNO dan Pas kena muktamadkan segera hubungan dalam MN kerana pilihan raya sudah tak boleh ditangguhkan untuk mereka tarik tali dalam membuat keputusan.

"Oleh kerana perancangan pilihanraya akan datang, parti-parti politik lain termasuk Bersatu perlukan kepastian juga.

"Dengan situasi di Melaka, Pas dan Bersatu mungkin terus bekerjasama kerana nampak keputusan sangat sukar dibuat antara Pas dan UMNO yang masih berbelah bahagi," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI khas, pada Sabtu.

Dr Mazlan juga melihat jika UMNO berjaya memperoleh majoriti mudah dalam PRN Johor yang akan datang, UMNO dan Pas dijangka tidak lagi berada dalam platform politik yang sama dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

"Dilema antara UMNO, Pas dan Bersatu telah menyebabkan ketidakpastian dalam hubungan Pas dan UMNO.

"Tetapi Pas juga ada platform kukuh di pantai timur dan utara, Pas juga rasa mereka tanpa UMNO boleh menyertai pesta demokrasi di negara ini dan beri cabaran besar setanding dengan gabungan lain," ujarnya.

Tambahnya, sukar untuk meramalkan apa yang akan terjadi di negeri lain namun perkembangan di Kelantan pasti akan menjadi turning point dan asas pertimbangan UMNO dalam meneliti kerjasama mereka dengan Pas.

UMNO Kelantan pada Sabtu membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas negeri yang berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dan Dewan Harian Pas Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti itu.