Pembangunan modal insan merupakan agenda teras kerajaan kerana ia merupakan kunci kepada aspirasi dan cita-cita negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata menerusi ilmu dan pendidikan, ia menjadi landasan kepada proses lengkap untuk melahirkan manusia yang berpengetahuan, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing.

"Sesebuah bangsa yang tidak mempunyai ilmu akan tewas kepada pihak lain kerana tanpa ilmu kita tidak mempunyai kekuatan bagi mengatasi pihak itu. Contoh yang amat jelas apabila tamadun Melayu Melaka sampai ke puncaknya tewas kepada tamadun Portugis yang hanya hantar tiga buah kapal kerana pada waktu itu Kesultanan Melaka hanya mempunyai kemampuan perang dengan alatan tombak dan keris tapi Portugis mempunyai alat perang meriam," katanya dalam ucapan perasmian Kompleks Permata Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri yang juga Penaung Program Permata Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan barisan exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan mesti menyediakan generasi akan datang dengan ilmu secukupnya mencakupi ilmu Naqli dan Aqli.

Perdana Menteri berkata dalam agama Islam, adalah wajib bagi umatnya menuntut ilmu sama ada yang bersifat wahyu ataupun pengetahuan.

"Kalau kita mengasingkan satu, maknanya kita belajar ilmu ukhrawi sahaja tinggal duniawi atau belajar duniawi sahaja tinggal ukhrawi, maka kita jadi manusia yang tempang.

"Apatah lagi dalam konteks masyarakat kita hari ini dengan segala-gala unsur pengaruh media sosial dan masalah-masalah lain dalam konteks masyarakat kontemporari misalnya masalah dadah, mat rempit dan masalah segala-gala unsur yang ada dalam internet termasuk ideologi IS (kumpulan militan Daesh).

"Maka kalau kita tak ada pengetahuan untuk bezakan yang Hak dan Batil maka kita akan jadi mangsa kepada semua pengaruh yang ada," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri menegaskan bahawa Program Permata Insan sebagai tepat pada masanya.

"Sebab kita nak membina peradaban, kita bukan nak menyediakan mereka yang lulus dalam bidang akademik sahaja, kita nak pemimpin, kita nak mereka yang mempunyai kesungguhan, kita nak mereka yang mempunyai kepandaian, tetapi berdasarkan kepada pengetahuan al-Quran dan As sunnah dan inilah menjadikan kita manusia yang selengkap-lengkapnya," kata Najib.

Kompleks Permata Insan adalah kompleks yang berkonsepkan sekolah dalam kampus dan terletak bersebelahan tasik utama USIM yang ketika ini memiliki 113 pelajar Asas 1 dan 2 yang sedang mengikuti pelajaran.

Ia dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti asrama, blok akademik, blog informasi digital, dewan makan dan dewan serbaguna.

Kompleks tersebut dibina di atas tanah seluas 4.8 hektar dengan kos pembinaan kira-kira RM68 juta.