KUALA LUMPUR: Model campuran pembangunan pengangkutan untuk pejalan kaki dan pergerakan orang ramai yang selamat, termasuk kenderaan tidak bermotor seperti basikal, akan menjadi pertimbangan utama dalam pembangunan Bandar Malaysia.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Tun Razak Exchange (TRX), memberi jaminan mengenai perkara itu dan kementeriannya akan memantau pembangunan tersebut bagi memastikan keperluan pengangkutan, dapat dipenuhi berdasarkan pembangunan lestari.

"Saya menegaskan bahawa pembangunan Bandar Malaysia mestilah mengambil kira pilihan mobiliti mikro dan pengangkutan awam yang cekap dan selamat, untuk mengurangkan kesesakan serta kesan karbon di Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Wee berkata perkara itu diputuskan dalam satu sesi perbincangan mengenai pelan induk Bandar Malaysia pagi tadi, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon, dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX Datuk Azmar Talib.

Beliau berkata tumpuan utama dalam sesi perbincangan itu meliputi beberapa faktor, seperti keperluan pengangkutan awam dan mobiliti bagi projek mega di Kuala Lumpur yang bakal menjadi terminal utama projek MRT2 dan MRT3, serta rancangan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) pada masa depan.

"Kami menerima taklimat mengenai cadangan infrastruktur pengangkutan awam Bandar Malaysia dan status semasa daripada pengurusan tertinggi Tun Razak Exchange," katanya.

-- BERNAMA