KUALA LUMPUR : Sekiranya berjaya, model pergerakan pelancongan Malaysia-Singapura boleh dipertimbangkan penggunaannya untuk membuka sempadan antarabangsa kepada lebih banyak negara.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, pada fasa permulaan, aplikasi seperti MySejahtera yang dibangunkan oleh kedua-dua negara perlu diintegrasikan bagi melihat keberkesanannya.

"Industri pelancongan negara sangat mengharapkan pasaran antarabangsa. Pergantungan pada pasaran domestik adalah terhad pada satu tahap nanti. Jadi kita kena buka (sempadan)," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Pada masa yang sama, Uzaidi berkata, semua penggiat industri tidak boleh bersikap sambil lewa dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Berpegang pada moto survival now, recovery 2024, Uzaidi berkata, industri pelancongan negara perlu ada pelan kukuh dalam merancakkan semula sektor itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, msekipun populasi Singapura sedikit namun negara itu merekodkan ketibaan jumlah pelancong yang tinggi ke Malaysia.

"Pasaran (pelancongan) Singapura amat penting kepada sektor pelancongan Malaysia. Walaupun penduduknya sedikit namun kekerapan pelancong yang memasuki negara adalah tinggi," ujarnya.

Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan untuk memperhalusi usaha ke arah mengiktiraf Sijil Vaksinasi COVID-19 di negara masing-masing bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

Perkara itu antara yang diputuskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan dalam pertemuan di Putrajaya pada Selasa.