KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menafikan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dibayar sebagai Penasihat kepada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).

MoF dalam satu kenyataan berkata, perjanjian sah ditandatangani Nurul Izzah adalah untuk memberikan khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, sepertimana dimaklumkan kepada umum.

“Hantaran yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu dan fitnah semata-mata.

“Dokumen perjanjian yang diuar-uarkan di media sosial merupakan sebuah draf tawaran tidak sah,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Rabu.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh menerima satu kiriman di laman sosial Facebook yang berbaur fitnah terhadapnya.

Hantaran tersebut mengatakan bahawa beliau telah dilantik sebagai penasihat Laksana dan menerima gaji sebanyak RM35,000 serta diberikan dua kakitangan dengan pendapatan antara RM5,000 hingga RM20,000.

Susulan itu, Nurul Izzah membuat laporan polis terhadap kenyataan berbaur fitnah berkenaan selain menegaskan bahawa tindakan menyebar maklumat palsu adalah pelanggaran di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Sinar Harian