KUALA LUMPUR: Kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok tiga hari bermula Isnin tidak akan berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

Bercakap kepada Astro AWANI, kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram mendakwa seramai 10,000 hingga 13,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Menurut jurucakap kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Jamal, berkata mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.

"Estimated (jangkaan) 10,000-13,000 doktor kontrak akan terlibat dalam masa tiga hari ini, ada setengah doktok akan mengambil cuti dua hari, bukan semua yang ikut tiga hari," katanya kepada Astro AWANI.

Bagaimanapun katanya tiada sebarang perhimpunan beramai-ramai atau demonstrasi akan diadakan kerana dibimbangi akan digunakan ahli politik sebagai dakwaan untuk menghukum mereka.

Mengenai perkhidmatan kepada pesakit, Dr Jamal berkata pihaknya menjangkakan perkhidmatan di jabatan kecemasan, klinik pesakit luar dan klinik pakar mungkin akan terjejas memandangkan kebanyakan doktor yang bertugas berstatus kontrak.

"Sebab itulah pihak mogok doktor kontrak menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak pergi ke hospital awam buat sementara dalam masa tiga hari itu, masa menunggu dijangka akan lebih panjang," katanya lagi.

Antara hopsital yang dijangka berhadapan dengan kesesakkan atau waktu menunggu yang lebih lama adalah Hopital Kuala Kumpur (HKL) Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR).

Justeru, pihaknya menyarankan orang awam untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta sepanjang tempoh mogok.